Malaysia kecam penggunaan peranti komunikasi sebagai senjata di Lubnan

Iklan
Penggunaan peranti komunikasi sebagai bahan letupan di Lubnan sejak 17 Sept mengorbankan sekurang-kurangnya 21 nyawa dan mencederakan 3,300 orang. - Foto AP

KUALA LUMPUR - Malaysia amat bimbang dengan penggunaan peranti komunikasi sebagai bahan letupan di seluruh Lubnan sejak 17 September, yang telah mengorbankan sekurang-kurangnya 21 nyawa dan mencederakan 3,300 orang.

Dalam satu kenyataan pada Khamis, Kementerian Luar berkata, Malaysia mengutuk sekeras-kerasnya serangan berkaitan siber ini kerana ia menjejaskan keselamatan, kestabilan, dan kedaulatan Lubnan.

Iklan
Iklan

Menurut kementerian itu, Malaysia berdiri teguh bersama Lubnan dalam krisis ini dan akan bekerjasama dengan masyarakat antarabangsa untuk meredakan ketegangan yang semakin meningkat.

"Malaysia merakamkan ucapan takziah dan simpati kepada mangsa serta keluarga yang kehilangan orang tersayang dalam tragedi ini, serta kepada kerajaan dan rakyat Lubnan.

Iklan

Kami juga mendoakan agar mereka yang cedera segera sembuh. Setakat ini, tiada laporan mengenai rakyat Malaysia yang terlibat dalam insiden itu," menurut kenyataan itu.

Kementerian Luar berkata, Kedutaan Besar Malaysia di Beirut sedang memantau perkembangan secara rapat dan berhubung secara aktif dengan pihak berkuasa tempatan.

Iklan

Kementerian turut menggesa semua rakyat Malaysia di Lubnan agar sentiasa mengikuti perkembangan terkini, mengambil langkah berjaga-jaga, dan mematuhi nasihat perjalanan daripada pihak berkuasa tempatan.

Mereka yang masih belum mendaftar dan mengemas kini lokasi serta butiran diri disarankan untuk berbuat demikian dengan segera di https://ekonsular.kln.gov.my.

Untuk sebarang bantuan, Kedutaan Besar Malaysia di Beirut boleh dihubungi di butiran berikut: Alamat: Lot 170, Saad Zaghloul Street, Downtown, Beirut, Lubnan atau di talian: +961 71 380 063, +961 7677 2527, e-mel: mwbeirut@kln.gov.my - Bernama