Pengusaha perlu ambil inisiatif mohon sijil halal

Iklan
Pengusaha industri makanan dan minuman perlu mengambil inisiatif memohon SPHM kerana ia berupaya memberi nilai tambah terutama dalam meningkatkan keyakinan pelanggan beragama Islam. Gambar kecil: Jawahar Ali

SHAH ALAM - Pengusaha industri makanan dan minuman perlu mengambil inisiatif memohon Sijil Pengesahan Halal Malaysia (SPHM) meskipun kerajaan mengekalkan dasar sedia ada iaitu dibuat secara sukarela.

Presiden Persatuan Pengusaha Restoran Muslim Malaysia (Presma), Datuk Jawahar Ali Taib Khan berkata, dengan adanya pengiktirafan tersebut ia berupaya memberi nilai tambah terutamanya dalam meningkatkan keyakinan pelanggan beragama Islam.

Iklan
Iklan

"Ada rasional juga tindakan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi apabila beliau mengumumkan untuk tidak mewajibkan sijil tersebut.

"Namun itu bukan bermaksud pengusaha tidak perlu ambil sijil berkenaan, contohnya kebanyakan syarikat perniagaan katering akan minta sijil halal ini,” katanya kepada Sinar Harian pada Khamis.

Iklan

Mesyuarat Jemaah Menteri pada Rabu dilapor bersetuju untuk mengekalkan dasar sedia ada bagi permohonan SPHM.

Ahmad Zahid berkata, dasar sedia ada yang dilaksanakan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), Majlis Agama Islam (MAIN) dan Jabatan Agama Islam Negeri (JAIN) adalah bersifat sukarela.

Iklan

Sebelum ini, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar dilapor berkata, Jakim sedang mempertimbangkan cadangan untuk mewajibkan pensijilan halal bagi restoran dan syarikat makanan yang tidak menyediakan hidangan daging babi dan alkohol.

Tambah Jawahar Ali, Jakim juga perlu memikirkan langkah untuk memudahkan proses pensijilan halal berkenaan kepada golongan pengusaha restoran dan syarikat makanan.

Menurutnya, ia akan menjadi berita baik kepada semua peniaga industri makanan dan minuman jika usaha tersebut berjaya dilaksanakan secara menyeluruh.

"Kalau dahulu membuat permohonan sijil halal ini memakan masa berbulan tetapi sekarang dipendekkan kepada beberapa hari.

"Jadi dari situ kita mahu tengok sejauh mana pelaksanaan itu berlaku dan berapa ramai yang akan memohon,” ujarnya.