BEIRUT - Ratusan alat kelui yang digunakan anggota kumpulan Hizbullah yang disokong Iran dilaporkan meletup di seluruh Lubnan pada Selasa yang menyaksikan sembilan orang maut manakala 2,800 cedera.
Letupan itu telah memberi kejutan tidak disangka kepada Hizbullah yang mendakwa ia dilakukan musuh ketatnya, Israel melancarkan serangan itu.
Sebelum ini, Hizbullah telah menyuarakan kembimbangan mengenai keselamatan sistem komunikasinya selepas beberapa orang komandernya terkorban dalam serangan Israel sejak beberapa bulan kebelakangan ini.
Setakat ini, beberapa perkara diketahui mengenai serangan dahsyat tersebut.
Apa yang berlaku?
Kira-kira jam 3 petang (waktu tempatan) pada Selasa, ratusan alat peranti kelui yang dibawa anggota HIzbullah telah meletup di seluruh Lubnan.
Letupan itu telah membunuh sekurang-kurangnya sembilan orang termasuk seorang kanak-kanak dan mencederakan 2,800 yang lain.
Menteri Kesihatan Lubnan, Firass Abiad berkata, lebih 200 berada dalam keadaan kritikal.
Katanya, mangsa yang cedera di beberapa anggota badan seperti mata dan beberapa kes 'kaki putus' akibat letupan peranti yang kebiasaannya disemat dalam poket seluar atau baju.
Letupan itu turut menyebabkan hospital di seluruh Lubnan sesak dengan mangsa yang kebanyakan mengalami kecederaan parah akibat insiden itu.
Dalam kejadian sama, seorang anak perempuan anggota Hizbullah berusia 10 tahun dilaporkan maut selepas alat keluinya meletup di Lembah Bekaa di timur Lubnan.
Selain itu, Duta Iran ke Lubnan Mojtaba Amani turut mengalami kecederaan dalam serangan yang disasarkan kepada alat komunikasi tersebut.
Apa yang berlaku sebelum ini?
Israel telah mengumumkan pada Selasa bahawa mereka sedang memperluaskan matlamat perang dengan kumpulan pejuang Hamas yang menguasai bahagian utara dengan Lubnan.
Berikutan serangan Hamas pada 7 Oktober lalu, Israel berikrar untuk membawa pulang tebusan yang diculik Hamas dan bertekad untuk menghapuskan pejuang Islam itu.
Malah, sejak itu sekutu Hamas juga melancarkan perang setiap hari ke wilayah diduduki Israel di sepanjang sempadan Lubnan.
Dalam serangan itu, ratusan pejuang termasuk orang awam terbunuh manakala puluhan tentera Israel mengalami nasib sama.
Bagaimana serangan dilakukan?
Sumber yang rapat dengan Hizbullah memberitahu AFP bahawa alat kelui yang meletup membabitkan penghantaran yang baru-baru ini diimport oleh Hizbullah telah 'disabotaj dari sumber'.
Selepas The New York Times melaporkan alat kelui telah ditempah daripada syarikat teknologi Taiwan, Gold Apollo, mereka mendakwa ia telah dihasilkan oleh syarikat rakan kongsi dari Hungary, BAC Consulting KFT.
"Ia berpunca daripada bateri litium dipaksa untuk melebihi had. Bahan letupan plastik kecil semestinya telah disembunyikan bersama bateri, bagi membolehkan letupan dari jauh melalui panggilan atau mesej.
"Agensi perisik Israel, Mossad menyusup masuk ke dalam rantaian bekalan,” menurut Charles Lister dari Institut Timur Tengah. - AFP
INFO
Alat kelui model AR-924
Dihasilkan oleh syarikat BAC Consulting KFT dari Hungary
Berteknologi rendah
Menggunakan bateri litium boleh dicaj semula.
Boleh menerima teks sehingga 100 patah perkataan.
Hayat bateri 85 hari
Radio Walkie talkie model IC-V82
Jenama ICOM buatan Jepun
Pengeluaran dihentikan secara berperingkat sejak 2014
Merupakan alat komunikasi dua hala untuk tujuan hobi