SELURUH negara gempar dengan ‘bencana kemanusiaan’ yang didakwa dilakukan oleh kumpulan serpihan Al-Arqam yang telah difatwakan sesat kira-kira 30 tahun yang lalu.
Gerakan kelompok yang menggunakan asas perniagaan dan agama dalam modus operandi kegiatan, akhirnya terbongkar melaui tindakan pihak berkuasa baru-baru ini.
Mereka bukan sahaja memanipulasi kanak-kanak dan institusi kekeluargaan namun membuka rahsia terhadap perlakuan menjijikkan dalam proses penyediaan makanan yang dipasarkan kepada masyarakat awam.
Perbincangan kontemporari dalam konteks kesihatan awam untuk isu kelompok ini menjangkau liputan yang tidak pernah kita fikirkan.
Isu kesihatan kanak-kanak, kekeluargaan dan kesihatan serta keselamatan produk makanan akibat ritual golongan yang difatwakan sesat masih belum dibincangkan dengan terperinci dalam teks perubatan moden.
Sukar untuk kita menerima hakikat satu ajaran yang telah difatwakan sesat, selama ini menghidangkan resipi rahsia yang menjijikkan kepada pengguna.
Atas kepercayaan sumber yang ternyata kotor itu sebagai ‘berkat’, ianya disimpan sejak sekian lama untuk disemburkan dalam hidangan makanan atau produk yang dijual.
Bahan-bahan yang yang pada mulanya sekadar gosip atau cakap-cakap tidak rasmi berupa air basuhan kaki dan rendaman janggut, akhirnya terbongkar melalui operasi pihak berkuasa yang menemukan lebih banyak spesimen yang menjijikkan.
Laporan akhbar rasmi negara baru-baru ini melaporkan sampel tisu, darah termasuk darah bekam serta pakaian yang dijadikan sumber air ‘berkat’ dalam ramuan hidangan.
Proses penyediaan makanan secara umum bermula dari makanan mentah, penghasilan, penyediaan serta penyimpanan sebelum sampai kepada masyarakat yang merupakan pengguna dikawalatur melalui Akta Makanan dan akta-akta berkaitan.
Ia juga secara sistematik memerlukan sistem yang berkualiti bagi memastikan makanan yang dihidangkan adalah bersih, berkualiti, selamat dan berkhasiat.
Pihak pengendali makanan pula terikat kepada peraturan tertentu bagi memastikan semua proses penyediaan dilakukan melalui syor dan garis panduan sepertimana yang ditetapkan.
Mereka juga disyaratkan untuk mengambil suntikan vaksin pencegah tifoid serta melalui pemeriksaan kesihatan di samping premis makanan mereka juga diperiksa melalui senarai semak bagi tujuan penggredan kebersihan premis.
Dalam menilai konteks isu berkaitan kesihatan awam ini, pada masa ini senarai semak kebersihan dan keselamatan pengendalian makanan masih belum memuatkan skop terhadap bahan-bahan menjijikan serta proses yang melibatkan bahan yang nyata tidak munasabah untuk disemburkan dalam makanan.
Meskipun situasi ini boleh dianggap dalam kejadian yang termasuk dalam peristiwa yang jarang-jarang ditemui, namun kita perlu mengambil kira akan skala permasalahan dan turut memikirkan implikasi terhadap emosi dan persepsi masyarakat yang pernah terdedah dengan hidangan yang menjijikkan tersebut.
Tambahan pula kelompok yang penuh kontroversi tersebut mempunyai rangkaian restoran hampir di seluruh negara dan juga di beberapa buah negara yang lain.
Meskipun tiada data atau kajian yang berkaitan dengan penyediaan dan hidangan bahan-bahan menjijikan itu, kita wajar memikirkan sudut pandang masyarakat umum yang seperti ‘tertipu’ dengan penampilan imej agama yang biasanya mementingkan kualiti dan kebersihan.
Perkhidmatan pembelian makanan yang dibayar telah dikhianati oleh kelompok tersebut dengan produk yang kotor dan tidak sesuai dimakan oleh manusia.
Dalam konteks ini, adalah disarankan agar Akta Makanan yang sedia ada dapat ditambah baik untuk turut memasukan kes-kes penyediaan makanan orang awam yang melibatkan bahan menjijikkan ini turut dimasukkan.
Peruntukan hukuman yang lebih berat serta keperluan menyita sumber hasil bagi mengelakkan ia berulang adalah juga merupakan skop yang wajar untuk dipertimbangkan.
Sesuai dengan nilai kemuliaan Islam sebagai agama rasmi negara, turut disyorkan agar sebarang entiti perniagaan untuk menanggalkan sebarang simbol dan penampilan yang berkaitan dengan ritual atau ibadah.
Justeru, ketrampilan sesuatu premis yang bersih, pengendali yang higenik serta pematuhan garis panduan untuk proses penyediaan makanan dilaksanakan secara jujur menurut skop peraturan yang mematuhi akta dan peraturan berkaitan.
Sebarang pelanggaran yang membabitkan salah guna imej agama dan kemuliaan nilai-nilai yang sedia diketahui masyarakat perlu melibatkan kuatkuasa undang-undang.
Ini bagi mengelakkan penipuan atas imej agama serta potensi memperalatkan agama dan manipulasi imej kebersihan dan keselamatan makanan demi kepentingan keuntungan.
Penipuan terhadap masyarakat perlu dihentikan. Ini memerlukan kerjasama erat semua pihak serta memberikan maklumbalas jujur terhadap pematuhan garispanduan dan undang-undang.
Mereka yang berkomplot gagal bertindak serta membiarkan ianya berleluas turut bertanggungjawab membiarkan masyarakat terdedah kepada implikasi makan dan minum produk yang kotor dan tidak bersih.
* Prof Madya Dr Malina Osman merupakan Pakar Perubatan Kesihatan Awam Universiti Putra Malaysia