[VIDEO] Alif Teega didakwa salah guna RM63,605.48 infaq korban dan iftar Makkah, Syria, Palestin

Iklan

KUALA LUMPUR - [DIKEMAS KINI] Pempengaruh, Alif Teega mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini pada Jumaat atas dua pertuduhan salah guna harta bagi program infaq iftar dan korban, berjumlah RM63,605.48 pada April serta Jun lalu.

Iklan
Iklan

Mohd Hazalif Mohd Hazani, 30, yang sebelum ini mencetuskan kontroversi rumah tangga, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan tersebut dibacakan.

Alif Teega (kanan) ditemani isteri, Aisyah Hijanah hadir ke Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur pada Jumaat.

"Saya mohon dibicarakan," kata Alif di hadapan Hakim, Azura Alwi.

Iklan

Mengikut pertuduhan pertama, lelaki terbabit didakwa secara tidak jujur menyalahgunakan wang RM36,047.35 bagi tujuan infaq iftar di Makkah, Syria dan Palestin di CIMB Bank, KL Gateway, di sini pada 26 April lalu.

Sementara pertuduhan kedua, dia dituduh menyalahgunakan wang RM27,558.13 bagi program 'Jom! sertai infaq daging Qurban' di bank sama, 15 Jun lalu.

Iklan
Semasa prosiding, Timbalan Pendakwa Raya, Farah Yasmin Salleh memohon jaminan dikenakan antara RM50,000 hingga RM100,000 bagi kedua-dua pertuduhan.

"Kami mencadangkan dia dikenakan syarat tambahan, menyerahkan pasport kepada mahkamah dan melaporkan diri di pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), sekali setiap bulan,” katanya.

Bagaimanapun, peguam, Mohd Shahrullah Khan merayu ikat jamin itu dikurangkan kepada RM10,000 sahaja memandangkan harta anak guamnya telah dibekukan oleh pihak SPRM.

Mahkamah juga menetapkan sebutan semula kes pada 21 Oktober depan.

Selain Mohd Shahrullah, pembelaan turut dihadiri peguam, Muhamad Aizat Fakri manakala pendakwaan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Julaila Jamaluddin dan Nurul Atiqah Mohamad Alias.

Pada 11 Julai lalu, seorang pempengaruh dan isterinya ditahan reman tujuh hari, bagi membantu siasatan kes salah guna kuasa untuk mendapatkan rasuah, bermula 2022 lalu.

Ia susulan, tular di media sosial mengenai seorang pempengaruh yang dikatakan mengambil komisen daripada kutipan derma, dengan peratusan yang tinggi.

Selain itu, pasangan itu juga dikatakan hidup dalam kemewahan sehingga menimbulkan pelbagai tanda tanya daripada warga siber.

Bagaimanapun, pasangan itu tampil dan menafikan semua dakwaan penyelewengan dan pecah amanah.

Sementara itu, isteri, Alif Teega, Aisyah Hijanah berkata, mereka akan memberi kerjasama kepada pihak berkuasa.

"Kita akan bagi kerjasama penuh sehingga kes ini selesai,” katanya ketika ditemui di luar mahkamah.

Bagaimanapun, wanita itu enggan memberi ulasan mengenai status perkahwinannya selepas ada dakwaan dia memfailkan tuntutan cerai di Mahkamah Rendah Syariah Daerah Gombak, Timur, Ampang, di sini, pada bulan lalu.