ALOR SETAR - Jumlah mangsa banjir di Kedah meningkat kepada 6,087 orang setakat jam 8 pagi ini berbanding 4,425 orang malam tadi, sementara situasi di Perlis dan Pulau Pinang tidak banyak berubah.
Menurut laporan Info Bencana Jabatan Kebajikan Masyarakat, sebanyak 1,942 keluarga yang terjejas banjir di Kedah kini ditempatkan di 36 pusat pemindahan sementara (PPS) di tujuh daerah. Daerah Kota Setar mencatatkan jumlah mangsa tertinggi dengan 2,424 orang, diikuti Kubang Pasu (1,537), Pokok Sena (925), Pendang (806), Kuala Muda (184), Bandar Baharu (131), dan Kulim (80).
Sementara itu, laman sesawang Infobanjir Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) melaporkan jumlah sungai yang berada pada paras bahaya di negeri itu berkurangan kepada enam setakat 8 pagi.
Sungai-sungai tersebut adalah Sungai Padang Terap di Kepala Batas, Sungai Bata di Kampung Bata, Sungai Laka di Kampung Padang Pasir, Kubang Pasu, Sungai Anak Bukit di Taman Aman, Sungai Anak Bukit di Jambatan TAR, dan Sungai Kedah di Jambatan Lebuhraya, Kota Setar.
Di PERLIS, seramai 114 mangsa banjir kini ditempatkan di tiga PPS di Arau dan Kangar setakat 8 pagi tadi berbanding 115 orang, malam tadi.
Banjir di Arau melibatkan kawasan seperti Kampung Sungai Padang dan Kampung Kubang Gajah, manakala di Kangar, banjir melanda Kampung Tok Kandang, Kampung Bakau, Kampung Sena, dan Kampung Seberang Tambang.
Di PULAU PINANG, jumlah mangsa banjir menurun sedikit kepada 578 orang yang ditempatkan di lapan PPS setakat 7.30 pagi tadi berbanding 594 orang malam tadi.
Menurut laporan Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Pulau Pinang, 168 keluarga yang terjejas banjir melibatkan tiga daerah iaitu Seberang Perai Utara (SPU), Seberang Perai Tengah (SPT), dan Seberang Perai Selatan (SPS).
Di SPU, sebanyak 421 mangsa ditempatkan di SK Padang Menora, SK Lahar Yooi, Sekolah Agama Rakyat Nyior Sebatang, dan Pusat Penempatan Banjir Labuh Banting. Di SPT, 116 mangsa berada di Sekolah Rendah Islam Maahad At Tarbiah Guar Jering, Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Permatang Pasir, dan SMK Permatang Rawa. Di SPS, 41 mangsa ditempatkan di Dewan MPKK Sanglang.
Di SELANGOR, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) negeri memaklumkan sebuah PPS dibuka di Institut Pengurusan Peladang Tanjong Karang, yang menempatkan 100 mangsa banjir daripada 35 keluarga dari Kampung Baru Lembah Pantai, Tanjong Karang, semalam susulan kejadian air pasang besar.
JBPM Selangor juga telah menggerakkan operasi pemantauan harian di daerah Sabak Bernam, Pulau Indah, Pelabuhan Klang, Teluk Panglima Garang, Kapar, Klang Utara, Tanjong Karang, Sekinchan, dan Banting. - Bernama