Banjir: Keluarga Aminah berkhemah atas ban sungai

Iklan
Keluarga Aminah mengambil inisiatif mendirikan khemah di atas ban sungai di hadapan rumah mereka di Kampung Padang Teja, Jitra di Kubang Pasu.

KUBANG PASU - Sebuah keluarga di Kampung Padang Teja, Jitra di sini yang terjejas banjir mengambil inisiatif mendirikan khemah di atas ban sungai di hadapan rumah mereka.

Siti Aminah Md Isa, 71, berkata, dia berat hati untuk berpindah ke pusat pemindahan sementara (PPS) selepas dimaklumkan perlu ke PPS alternatif yang terletak jauh dari rumah mereka.

Iklan
Iklan

Katanya, ia akan menyukarkan mereka memantau keadaan rumah selain risau berlaku kecurian barangan penting di dalam rumahnya.

"Air mula naik pada petang Selasa, nasib baik anak-anak balik bercuti di kampung, mereka yang bantu alihkan barang-barang penting dalam rumah ini.

Iklan

"Kami nak berpindah ke PPS, tapi yang dekat dengan rumah penuh. Jadi, anak-anak buat keputusan beli khemah dan pasang depan rumah," katanya ketika ditemui di sini pada Jumaat.

Anak-anak dan menantu Aminah memasang khemah sebagai tempat berteduh.

"Insya-ALLAH, kami selamat saja duduk di sini, elektrik ada... air paip ada, lagipun rumah makcik air tak naik tinggi sangat.

Iklan

"Jiran-jiran yang rumah tak dinaiki air pun beri kami tumpang tandas di rumah mereka," katanya.

Sementara itu, menantu kepada Siti Aminah yang pulang bercuti dari Shah Alam, Selangor, Kahar Kamarudin, 46, berkata, ibu mentuanya tinggal berdua bersama adik ipar lelakinya di rumah berkenaan.

"Nasib baik banjir berlaku ketika kami semua balik bercuti di kampung. Jadi boleh sama-sama bina khemah di depan rumah ini.

"Sejak beberapa hari lepas hujan lebat lain macam, kami dah tak lena tidur sebab bimbang," katanya.

Menurutnya, keadaan banjir pada tahun ini sama macam banjir besar 2010.