Air pasang besar: Lebih 30 rumah dinaiki air di dua daerah

Iklan
Anggota APM memantau rumah penduduk yang dinaiki air susulan fenomena air pasang besar yang berlaku di daerah Bagan Datuk.

TELUK INTAN - Lebih 30 rumah di daerah Hilir Perak dan Bagan Datuk dinaiki air susulan fenomena air pasang besar yang berlaku pada pagi Jumaat.

Pegawai Pertahanan Awam (APM) Daerah Hilir Perak, Kapten Mohd Affindi Ishak berkata, kejadian tersebut berlaku kira-kira jam 7 pagi melibatkan lima lokasi di sekitar daerah Hilir Perak.

Iklan
Iklan

Menurutnya, kawasan yang terlibat ialah Jalan Mak Intan, Kampung Esso Jalan Maharajalela, Batu 2 1/2 Kampung Jeti Pak Ali, Lorong Kalat Jalan Maharajalela dan Batu 5 Jalan Teluk Intan-Hutan Melintang di sini.

Antara jalan yang dinaiki air susulan fenomena air pasang besar di daerah Hilir Perak.

"Berdasarkan pemantauan yang kita buat, ketinggian aras banjir sedalam 0.28 meter disebabkan limpahan air sungai berhampiran susulan fenomena air pasang besar.

Iklan

"Bagaimanapun tiada penduduk yang dipindahkan memandangkan paras air menunjukkan penurunan, namun kita tetap memantau dari semasa ke semasa," katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Jumaat.

Menurutnya, limpahan air disebabkan fenomena tersebut berlaku sejak beberapa hari lalu dan pada Khamis air pasang berlaku sebanyak dua kali menyebabkan beberapa rumah penduduk dinaiki air.

Iklan

Jelasnya, pemantauan sentiasa dilakukan dari semasa ke semasa oleh anggota yang bertugas kerana dijangkakan bahawa fenomena tersebut berlaku sehingga hujung minggu ini.

Sementara itu, selain daerah Hilir Perak, daerah Bagan Datuk juga turut menerima kesan fenomena air pasang besar apabila terdapat beberapa rumah dinaiki air.

Berdasarkan maklumat dikongsikan APM Perak, sebanyak 16 rumah dinaiki air melibatkan empat kawasan di daerah Bagan Datuk.

Menurutnya, kawasan yang terjejas ialah Kampung Sungai Dulang, Kampung Tanah Lalang, Pekan Sungai Tiang Baroh dan Bagan Sungai Tiang.