200 syarikat buka ruang kerjaya untuk bekas banduan

Iklan
Marzuki (dua dari kanan) menerima cenderamata daripada Timbalan Pengarah Penjara Sabah dan Labuan pada majlis perasmian penutupan Program Psiko Pendidikan Kaunseling Kerjaya Penghuni Penjara Wanita Peringkat Zon Sabah Tahun 2024 di Penjara Wanita Kota Kinabalu.

KOTA KINABALU - Hampir 200 majikan atau syarikat di seluruh negara berkolaborasi dengan Jabatan Penjara Malaysia untuk menawarkan peluang pekerjaan kepada bekas banduan meneruskan kelangsungan hidup selepas mereka selesai menjalani hukuman.

Iklan
Iklan

Timbalan Pengarah Bahagian Agama dan Kaunseling (Baka) Jabatan Penjara Malaysia, Marzuki Azmi Bidi berkata, di Sabah pula Jabatan Penjara turut bekerjasama dengan Jabatan Tenaga Kerja (JTK) dan Pertubuhan Keselamatan Pekerja dan Sosial (PERKESO) sebagai usaha membantu penghuni apabila keluar kelak.

"Sebelum mereka dibebaskan lagi pihak JTK akan mengumpul maklumat penghuni. Ini bagi memudahkan mereka apabila keluar kelak mendapatkan peluang kerjaya dalam meneruskan kelangsungan hidup.

Iklan

"Malah kerjasama dengan pihak majikan juga ada penambahbaikan dari masa ke masa untuk membantu Jabatan Penjara dalam pengambilan tenaga kerja dalam bidang mereka," katanya pada Jumaat.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas hadir menyempurnakan Majlis Perasmian Penutupan Program Psiko Pendidikan Kaunseling Kerjaya Penghuni Penjara Wanita Peringkat Zon Sabah Tahun 2024 di Dewan Raflesia, Penjara Wanita Kota Kinabalu.

Iklan

Jelasnya lagi, antara bidang yang menjadi keutamaan Jabatan Penjara termasuk sektor perladangan, pertanian, perkilangan dan industri makanan.

"Hasrat kita supaya apabila penghuni ini keluar tidak sukar untuk mencari pekerjaan tetap dan di sini JTK sendiri yang datang untuk memberi ruang menceburi bidang kerjaya selepas dibebaskan.

"Antara hasrat kita juga adalah untuk mengikis atau menghilangkan terus stigma masyarakat terhadap penghuni yang telah menjalani hukuman di penjara apabila kembali kepada masyarakat nanti," katanya.