SHAH ALAM - Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Zon Tengah berjaya mematahkan sindiket cubaan penyeludupan rokok, tembakau serta minuman keras yang dianggarkan lebih RM1.76 juta sejak 13 Ogos hingga 21 Ogos lalu.
Pengarah Operasi Penguatkuasaannya, Zulkifli Muhamad berkata, rampasan melibatkan pemeriksaan di Terminal Operator Kargo, Zon Perdagangan Bebas Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 selain serbuan di ibu kota.
Menurutnya, operasi pertama di Zon Perdagangan Bebas Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2, kira-kira jam 6 petang pada pada 13 Ogos lalu menemukan 84 Master Case yang mengandungi 500,800 batang rokok putih dan 63 Master Case mengandungi surat khabar lama dalam muatan empat pallet dagangan dianggarkan bernilai RM50,080 dengan membabitkan duti dan cukai sebanyak RM335,536.
"Siasatan mendapati kesemua rokok putih ini didapati masuk ke kawasan Zon Bebas KLIA tanpa permit sah menggunakan cara perkhidmatan penghantaran melalui kargo serta diikrar sebagai pakaian.
"Kesemua rokok putih yang diimport ini tidak mempunyai sebarang dokumen yang mengesahkan cukai telah dibayar semasa mula-mula masuk ke negara ini," katanya menerusi kenyataan pada Jumaat.
Beliau berkata, operasi kedua di lokasi sama pada jam 12.10 tengah hari 16 Ogos menemui 804,000 batang rokok putih yang disyaki tak berkastam.
"Siasatan mendapati rokok putih bernilai RM80,400 dan membabitkan duti dan cukai sebanyak RM538,400 ini untuk dieksport ke Australia berdasarkan alamat destinasi akhir pada dokumen.
"Siasatan awal mendapati kesemua rokok putih menggunakan cara perkhidmatan penghantaran melalui kargo ini tidak mempunyai sebarang dokumen yang mengesahkan cukai telah dibayar selain diikrarkan sebagai baju hujan dan cigar," katanya.
Dalam pada itu, Zulkifli berkata, dalam operasi ketiga pada 19 Ogos jam 4.20 petang di lokasi sama menemui 3,000 kilogram tembakau shisha disyaki tak berkastam kerana diimport masuk ke Malaysia tanpa permit import sah.
"Tembakau dianggarkan bernilai RM405,000 dan membabitkan duti serta cukai sebanyak RM313,863.75 ini dipercayai untuk pasaran dalam negara.
"Siasatan awal mendapati kesemua tembakau ini tidak mempunyai sebarang dokumen yang mengesahkan cukai telah dibayar selain diikrarkan sebagai barangan dagangan lain serta menggunakan penghantaran kargo untuk mengaburi pihak berkuasa," katanya.
Beliau berkata, operasi melibatkan rampasan minuman keras pula dijalankan menerusi Ops Royal dalam serbuan di dua premis perniagaan dekat ibu kota pada 13 dan 21 Ogos lalu.
"Serbuan dijalankan menemukan 323.61 liter minuman keras yang disyaki tak berkastam serta mempunyai Label Cukai Kastam palsu dianggarkan bernilai RM7,300 dengan melibatkan duti serta cukai sebanyak RM32,200.
"Operasi sama turut menahan dua pemilik premis terbabit berumur lingkungan 40-an untuk tindakan selanjutnya," katanya.
Tambahnya, kesemua kes ini disiasat serta diambil tindakan di bawah Akta Kastam 1957 dan Seksyen 135(1)(a) Akta Kastam 1967.