GISBH: Anak bekas pemimpin Al-Arqam antara tujuh ditahan

Iklan
Tan Sri Razarudin Husain

KUALA LUMPUR - Anak kepada bekas pemimpin Al-Arqam antara tujuh lelaki disyaki ahli GISB Holdings Sdn Bhd (GISBH) ditahan dalam Op Global di empat lokasi di Pahang dan Kelantan pada Khamis.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata, permohonan reman ke atas kesemua lelaki berusia 24 hingga 35 itu dibuat di Mahkamah Shah Alam, Selangor.

Iklan
Iklan

"Mereka direman tujuh hari bermula Jumaat hingga Khamis bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 12 Akta Antipemerdagangan Orang dan Penyeludupan Migran 2007," katanya ketika dihubungi pada Jumaat.

Razarudin berkata, kesemua yang ditahan itu ditempatkan di Lokap Berpusat Shah Alam.

Iklan

"Soal siasat awal masih dijalankan terhadap kesemua individu yang ditahan," ujarnya.

Pada Khamis, Ketua Pegawai Eksekutif GISBH dan isterinya antara 19 individu ditahan dalam Op Global di ibu kota.

Iklan

Kesemua individu berusia 25 hingga 65 tahun itu ditahan dalam operasi yang dijalankan Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman pada jam 5.40 pagi.

Seramai 12 lelaki dan tujuh wanita itu direman tujuh hari bermula Khamis hingga Rabu bagi membantu siasatan.

Pada Rabu, media melaporkan sebanyak 740 rakaman percakapan telah dilaksanakan berhubung siasatan ke atas GISBH

Razarudin dilaporkan berkata, tindakan ini diambil menerusi Op Global yang dilaksanakan bagi fasa pertama dan kedua.

Mengulas mengenai perkembangan Op Global, Razarudin berkata, siasatan kini berada di fasa kedua bermula pada 11 September selepas fasa pertama dimulakan 2 September lalu.

Katanya, sebanyak 10 kertas siasatan dibuka pada Fasa 1 iaitu masing-masing enam di Selangor dan Negeri Sembilan (4), manakala Fasa 2 melibatkan 23 kertas siasatan iaitu 16 di Selangor, Negeri Sembilan (2), Perlis (1) dan Kuala Lumpur (1).

Selain itu, Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah membekukan 96 akaun melibatkan GISBH bernilai RM581,552.31 mengikut Seksyen 44(1) AMLATFPUAA 2021 selain empat akaun telah ditutup.