[VIDEO] Pintu rundingan MoU peruntukan pembangkang masih terbuka - Fahmi

Iklan

PUTRAJAYA - Pintu rundingan mengenai memorandum persefahaman (MoU) untuk peruntukan Ahli Parlimen pembangkang masih terbuka, dan kerajaan sedia untuk berbincang lebih lanjut mengenainya, kata Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil.

Fahmi, yang juga jurucakap Kerajaan Perpaduan, menjelaskan bahawa draf MoU tersebut berfungsi sebagai platform perbincangan dan bukan sebagai dokumen muktamad.

Iklan
Iklan

"Pintu rundingan tidak tertutup, yang tutup adalah pembangkang sendiri. Kalau hasrat (pembangkang) benar-benar ingin berbincang, marilah berbincang tidak perlu rasa takut. Datang dan berbincang. Kami sedia untuk berbincang,” katanya ketika berucap pada Perhimpunan Bulanan Kementerian Komunikasi Bulan September di sini pada Jumaat.

Sebelum ini, Ketua Pembangkang, Datuk Seri Hamzah Zainudin mengesahkan Perikatan Nasional (PN) menolak cadangan MoU tersebut kerana mendakwa ia bertentangan dengan beberapa perkara termasuk berkaitan Perlembagaan Persekutuan dan mengongkong kebebasan.

Iklan
Fahmi Fadzil. Foto Bernama

Fahmi berkata, semasa beliau berada di kerusi pembangkang, pihaknya sentiasa berbincang mengenai MoU persefahaman hampir setiap minggu malah, beliau dipertanggungjawabkan untuk mengawasi pelaksanaan mengenai perkara yang telah dibincangkan.

"Antara niat kami pada waktu itu adalah untuk mengatasi COVID-19 dan juga nak melihat sejumlah reformasi atau perubahan.

Iklan

"Akibat daripada persefahaman antara pembangkang dan kerajaan waktu itu, kita telah berupaya melaksanakan beberapa perkara, termasuk bantuan tambahan untuk rakyat, pindaan kepada Perlembagaan Persekutuan dan sebagainya," katanya.

Fahmi menegaskan bahawa MoU tersebut juga menggambarkan niat kerajaan untuk memastikan pembangkang memainkan peranan yang konstruktif dalam Parlimen, selain mengelakkan daripada menyentuh isu kaum, agama, dan institusi diraja (3R), serta melibatkan pengisytiharan harta.

Beliau turut mempersoalkan 'komitmen' pembangkang yang sering melaungkan mantera 'kami nak pastikan rakyat di kawasan kami terjaga dan terbela', namun mereka dilihat 'berlengah' dalam isu berkenaan.

"Lama kelamaan, hujah anda akan menjadi semakin lemah. Jika benar itulah hasrat di pihak pembangkang (untuk membela rakyat), sepatutnya dah lama selesai," katanya.

Fahmi dalam pada itu menyuarakan kekesalan terhadap tindakan Hamzah yang enggan menyertai sebarang acara, termasuk Sambutan Hari Kebangsaan 2024 baru-baru ini, walaupun telah dijemput secara rasmi.

"Saya kesal kerana jemputan kita tidak disambut. Kami berusaha sebaik mungkin untuk mendekati dalam semangat demokrasi dan demi rakyat, tetapi tangan yang dihulur dalam semangat bukan persahabatan, tetapi persefahaman, tidak disambut, malah kelihatan seolah-olah berpura-pura menjadi mangsa," katanya. - Bernama