UniSZA sentiasa bantu pelajar kurang berkemampuan

Iklan
UniSZA

KUALA NERUS - Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) sentiasa memberi peluang dan menerima pelajar miskin serta kurang berkemampuan untuk menyambung pelajaran di universiti berkenaan.

Naib Canselornya, Profesor Datuk Dr Fadzli Adam menyatakan pihaknya turut komited dalam memberi bantuan kewangan pengajian, biasiswa dan zakat pengajian serta penangguhan yuran pendaftaran kepada pelajar yang tidak berkemampuan terutama pelajar yang baru mendaftar di UniSZA.

Iklan
Iklan

"UniSZA juga telah memeterai memorandum persefahaman (MoU) bersama Yayasan Diraja Sultan Mizan (YDSM) bagi memberi peluang kepada pelajar daripada golongan berpendapatan rendah (B40) di Terengganu untuk melanjutkan pengajian di peringkat tertinggi.

Pada Khamis, Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir mengarahkan semua pentadbir universiti menerima masuk pelajar miskin dan daif, termasuk menangguhkan bayaran yuran pendaftaran mereka.

Iklan

Zambry turut mengarahkan pihak universiti menguruskan bantuan awal pengajian melalui PTPTN kepada golongan mahasiswa berkenaan.

Mengulas lanjut, Fadzli berkata, pihaknya telah membantu seramai 331 pelajar diploma dan 492 pelajar sarjana muda dari golongan B40 melalui program yang dijalankan bersama YDSM sejak 2019.

Iklan

"Merujuk kepada saranan Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Zambry Abd Kadir kepada semua pentadbir universiti untuk menerima masuk pelajar miskin dan daif termasuk menangguhkan bayaran yuran pendaftaran maka UniSZA sememangnya sentiasa bersedia untuk menjayakan usaha tersebut," jelas beliau.