ALOR SETAR - Seorang lelaki terkedu apabila benda terapung yang dilihatnya di dalam longkang adalah cucu perempuannya yang dipercayai hilang ketika kawasan rumahnya di Lorong Seri, Jalan Langgar dekat sini dilanda banjir pada petang Khamis.
Mohd Hamidan Hashim, 38, berkata, dia segera turun ke dalam longkang untuk mengambil cucunya, Nur Aisha Misya Afifah Abdul Fattah, 2, naik ke tepi longkang dan memanggil namanya berulang kali.
"Tetapi cucu saya tidak menunjukkan sebarang tindak balas malah wajahnya pucat dan bibirnya juga sudah kebiruan," katanya ketika ditemui di Jabatan Forensik Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) di sini pada Jumaat.
Menurutnya, ketika kejadian dia berada di tempat kerja berhampiran Stadium Darulaman sebelum dihubungi anak sulungnya, Siti Nurfarhana Abdullah, 18, yang memaklumkan anaknya hilang dipercayai terjatuh dalam longkang.
"Anak menghubungi saya kira-kira jam 4.30 petang. Kemudian saya bergegas ke lokasi kejadian untuk mencarinya tetapi tak jumpa kerana air sangat dalam ketika itu.
"Penduduk kampung pun tolong cari cucu saya, ada yang cuba menyelam tetapi tak jumpa sebelum jasadnya timbul kira-kira jam 8 malam semalam," katanya
Mohd Hamidan berkata, ketika kejadian, kawasan kampung itu dinaiki air disebabkan limpahan air Sungai Kedah, selain air pasang besar yang berlaku kira-kira jam 3 petang pada Khamis.
"Kawasan ini tak pernah banjir pun, tetapi semalam bila air pasang dan bertembung dengan limpahan air sungai menyebabkan banjir kilat berlaku sehingga menenggelamkan longkang ini.
"Namun saya reda dengan pemergian cucu walaupun sehari sebelum kejadian dia menunjukkan perubahan sikap tidak mahu makan dan mendiamkan diri," katanya.
Sementara itu, ibu mangsa, Siti Nurfarhana berkata, ketika kejadian dia sedang tidur di dalam rumah yang terletak kira-kira 30 meter dari longkang berkenaan.
"Pada mulanya saya ingat anak ke rumah nenek mereka tidak jauh dari lokasi kejadian. Masa tu anak sulung saya yang berusia tiga tahun ada di dalam rumah.
"Saya kemudian rasa tidak sedap hati dan terus menghubungi ayah sebelum keluar mencari anak saya," katanya.
Jelas Siti Nurfarhana, tidak lama kemudian orang kampung memaklumkan anak bongsu dari dua beradik itu ditemukan dalam longkang yang ketika itu dilimpahi air sungai.
Jasad kanak-kanak itu kemudian dihantar ke Jabatan Forensik HSB untuk tindakan lanjut dan dijangka dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Masjid Al Irfan, Derga, Jalan Langgar di sini petang Jumaat.