PELUMBA berpengalaman, Muhammad Zawawi Azman menganggap kariernya kembali ‘bernyawa’ selepas menyertai semula pasukan lamanya, Team Sapura Cycling (TSC) yang kini dikenali Malaysia Pro Cycling Team (MPC).
Bagi Zawawi, penyertaannya bersama MPC umpama ‘roda kitaran hidup’ selepas apa yang berlaku sepanjang tahun lalu yang menyaksikan dia terpaksa berdepan dengan pelbagai rintangan dan cabaran.
Justeru, Zawawi berazam menghadiahkan kejayaan positif buat MPC menjelang perlumbaan Petronas Le Tour de Langkawi (LTdL) 2024 yang bakal berlangsung dari 29 September hingga 6 Oktober nanti.
"Sudah semestinya sebagai salah seorang pelumba tempatan, lebih-lebih lagi beraksi di negara kita sendiri, saya mahu memburu penamat podium pada perlumbaan LTdL tahun ini.
"Tidak kira menang mana-mana peringkat perlumbaan atau kategori pelumba terbaik Malaysia atau Asia, saya tidak akan sia-siakan peluang yang ada,” katanya.
Berbaki kurang dua minggu sebelum bermulanya LTdL 2024, Zawawi berkata, dia dan rakan-rakan sepasukannya kini giat menjalani latihan fasa akhir selepas beraksi pada Tour Salalah di Oman baru-baru ini.
"Buat masa ini, segala persiapan kami bagi menghadapi LTdL berjalan dengan cukup baik. Malah, kami sudah mengharungi kira-kira empat kejohanan tahun ini dan terbaharu di Oman.
"Sebelum itu, kami juga beraksi pada Tour de Ijen di Indonesia pada Julai lalu selain perlumbaan Tour Trans-Himalaya dan Tour of Hainan di China pada penghujung bulan lalu.
"Saya dapat rasakan itu akan menjadi antara persiapan terbaik kami menjelang LTd. Saya harap kami dapat mengekalkan momentum positif dalam beberapa perlumbaan di luar negara itu pada LTdL tahun ini.
"Apa yang saya lihat, pasukan kami mempunyai kombinasi pelumba yang baik. Setiap pelumba sudah tahu peranan masing-masing, jadi itu akan memudahkan tugas kami nanti,” ujarnya yang bertindak sebagai pelumba all rounder.
Pada masa sama, Zawawi berkata, dia berterima kasih kepada Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM) yang memberikan peluang kepadanya membarisi pasukan kebangsaan Malaysia pada LTdL 2023.
"Pada suatu ketika, saya lihat karier saya seperti terumbang-ambing apabila pasukan Sapura (TSC) terkubur tahun lalu. Mujur saya mendapat kepercayaan daripada coach Mohd Yusof (Nasir) untuk mewakili pasukan Malaysia.
"Masa itu, saya juga dapat rasakan karier saya seolah-olah kembali ‘bernyawa’. Setidak-tidaknya saya masih mempunyai pasukan selepas Sapura (TSC) dibubarkan,” jelas pelumba berusia 30 tahun kelahiran Parit Buntar, Perak itu.
Selain Zawawi, lima lagi pelumba yang akan menggalas cabaran MPC pada LTdL kali ini adalah Ahmad Syazrin Awang Ilah, Zulfikri Zulkifli, Muhammad Fahmi Khairul, Mohammad Izzat Hilmi Abdul Halil dan Muhammad Syawal Mazlin.
Untuk rekod, pasukan yang diasaskan oleh bekas pelumba negara, Sayuti Zahit itu mencipta sensasi apabila muncul juara keseluruhan (Jersi Kuning) dua edisi berturut-turut - LTdL 2019 dan 2020 selain menyambar Jersi Merah (2020).
Di bawah sentuhan magis Sayuti yang kini bertindak sebagai Pengarah Sukan MPC, TSC mengungguli LTdL 2019 menerusi Benjamin Dyball, jaguh kelahiran Australia dan pelumba Itali, Danilo Celano yang menjuarai edisi 2020.
Malah, lebih membanggakan apabila pelumba muda negara, Nur Aiman Zariff melakar sejarah tersendiri apabila berjaya membantu TSC memenangi Jersi Merah (Raja Bukit) pada LTdL 2020.
Namun, nasib malang menimpa TSC apabila pasukan benua negara itu terpaksa dibubarkan pada pertengahan tahun lalu ekoran ketiadaan penaja sehingga menyebabkan mereka tidak ‘menghiasi’ LTdL 2023.
Begitupun, Sayuti tidak menunggu lama untuk ‘menghidupkan’ kembali pasukannya apabila menjenamakan semula TSC dengan nama baharu, MPC yang secara rasmi ditubuhkan pada Ogos tahun lalu.
Perlumbaan LTdL 2024 yang memasuki edisi ke-28 tahun ini membabitkan lapan peringkat merangkumi laluan sejauh 1,227.2 kilometer (km).
Pulau Langkawi kembali tersenarai dalam laluan edisi kali ini yang turut menyaksikan dua peringkat perlumbaan julung-julung kalinya bakal dilangsungkan di dua buah bandar di Sarawak iaitu Miri dan Bintulu.