KOTA BHARU - Industri pelancongan di negeri ini sempena Tahun Melawat Kelantan 2020 (TMK 2020) dijangka hanya terjejas dalam jumlah yang sedikit akibat penularan wabak koronavirus dari negara China.
Exco Perpaduan Masyarakat, Kebudayaan, Warisan dan Pelancongan negeri, Mejar (B) Datuk Md Anizam Abdul Rahman berkata, peratusan kecil itu berikutan negeri ini tidak bergantung sepenuhnya kepada kemasukan pelancong dari negara pembawa wabak berkenaan.
Menurutnya, jumlah tepat kemasukan pelancong yang terjejas tersebut bagaimanapun akan diperoleh daripada data oleh Jabatan Imigresen.
"Mana-mana pun terjejas kerana pergerakan dan penerbangan terhad, impak terhadap pelancongan tetap ada, bagaimanapun TMK 2020 Kelantan tetap diteruskan.
"Pada masa sama kawalan, pemantauan dan saringan di pintu-pintu masuk ke Kelantan di Lapangan Terbang Sultan Ismain Petra (LTSIP) serta di sempadan negara di Rantau panjang tetap dilakukan oleh pihak berkuasa bagi langkah pencegahan,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media pada Majlis Pelancaran Kempen Promosi Tahun Melawat Kelantan 2020 bertema Keluarga, Makanan dan Festival peringkat Konsortium E-Mutiara Berhad di Hotel Grand River View di sini hari ini.
Hadir sama Pengerusi Eksekutif Konsortium E-Mutiara Berhad, Che Ibrahim Che Ismail.
Md Anizam berkata, sejumlah 66 festival yang sudah tersedia sepanjang sambutan TMK 2020 juga diteruskan dalam usaha mencapai sasaran 5.5 juta kemasukan pelancong ke negeri ini.
"Sasaran dikekalkan dan kerajaan akan berusaha gigih untuk mencapainya selain optimis dapat dicapai kerana Kelantan menerima pelancong domestik dan antarabangsa termasuk dari Asia Tenggara dan Eropah.
"Pelantikan Konsortium E-Mutiara sebagai antara rakan strategik kerajaan negeri dalam mempromosikan TMK 2020 juga adalah usaha merancakkan lagi kemasukan pelancong melalui jalan darat,” katanya.