Ambil tindakan tegas terhadap ejen penipuan haji, umrah - CAP

Iklan
Kerajaan perlu mengambil tindakan lebih tegas dan berkesan terhadap ejen-ejen yang menipu jemaah haji dan umrah di negara ini. Gambar hiasan

GEORGE TOWN - Kerajaan perlu mengambil tindakan lebih tegas dan berkesan terhadap ejen-ejen yang menipu jemaah haji dan umrah di negara ini.

Presiden Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP), Mohideen Abdul Kader berkata, pendedahan mengenai penipuan ini bukanlah perkara baharu kerana setiap tahun kes-kes penipuan jemaah haji dan umrah kerap disiarkan di akhbar-akhbar tempatan yang menceritakan bagaimana penderitaan jemaah yang terpaksa ditanggung.

Iklan
Iklan

Menurutnya, ada jemaah haji dan umrah yang dari awal lagi sudah terkandas di lapangan terbang akibat ketiadaan penerbangan sepertimana yang dijanjikan, manakala jemaah yang sudah tiba di Makkah dan Madinah pula mendapat tempat penginapan serta makanan tidak seperti yang ditawarkan di dalam pakej haji dan umrah.

"Sampai bilakah jemaah haji dan umrah Malaysia akan menjadi mangsa penipuan oleh pihak yang tidak bertanggungjawab yang hanya mengambil kesempatan terhadap niat baik jemaah yang ingin menunaikan ibadat haji dan umrah.

Iklan

"Apa yang dilalui oleh jemaah ini apabila tiba di tanah suci pula amat mengejutkan, walaupun mereka membayar dengan bayaran yang mahal sehingga mencecah RM100,000 kemudiannya dibiarkan tanpa bimbingan mutawif dan seolah-olah merempat ketika di sana, malah ada jemaah yang ditempatkan ke sebuah hotel seperti terbengkalai," katanya dalam kenyataan di sini, pada Jumaat.

Mengulas lanjut, Mohideen berkata, pada 2023, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial, Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf menyatakan sebanyak 399 laporan polis diterima berhubung dakwaan penipuan pakej umrah oleh sebuah syarikat pelancongan melibatkan 1,614 jemaah di seluruh negara dengan jumlah kerugian lebih RM14 juta.

Iklan

Manakala Setiausaha Bahagian Pelesenan dan Penguatkuasaan MOTAC, Roslan Mohammad pula mendedahkan pada 2023 juga penipuan umrah di negara ini semakin meningkat dengan merekodkan kerugian kira-kira RM9 juta.

"Jumlah penipuan yang direkodkan ini meningkat tiga kali ganda berbanding pada 2022 dengan 62 kes dilaporkan kepada pihak polis membabitkan kerugian RM2.1 juta.

"Sejak 1 Januari 2024 sehingga 25 Ogos 2024 sahaja, KPDN menerima 39 aduan berkaitan pakej umrah dan haji dan semua aduan itu telah dirujuk ke Tribunal Tuntutan Pengguna Malaysia (TTPM) untuk tindakan lanjut.

"Dari 1 Januari sehingga 31 Julai 2024, sebanyak 562 kes tuntutan tebus rugi berkaitan penipuan pakej umrah difailkan di TTPM seluruh Malaysia dengan 413 kes tuntutan selesai," katanya lagi.

Beliau berkata, masalah penipuan dalam pakej umrah dan haji ini adalah susulan daripada penipuan yang wujud dalam bidang perniagaan merangkumi penipuan daripada aspek pengiklanan, contohnya pakej haji tanpa giliran bagi menarik jemaah serta tawaran yang mengelirukan.

Sehubungan itu, beliau menggesa agar pihak berkuasa yang berkaitan mengambil tindakan yang lebih tegas dan berkesan terhadap syarikat yang melanggar peraturan dengan mengenakan hukuman denda dan penjara yang lebih berat serta menyenaraihitam daripada menguruskan jemaah haji dan umrah.

Tegasnya, pengusaha syarikat pengelola haji dan umrah perlulah mengutamakan kepentingan etika, moral dan akhlak agar aktiviti penipuan ini tidak memberikan imej negatif kepada agama Islam itu sendiri.