[VIDEO] Fahmi dedah syarikat jual projek pembangunan internet kepada pihak lain

Iklan

PUTRAJAYA - Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil hari ini mendedahkan tindakan beberapa syarikat yang didapati menjual projek pembangunan dan naik taraf Internet yang diperoleh kepada pihak lain.

Tanpa menyatakan lokasi dan nama syarikat yang terlibat, beliau menegaskan bahawa menjadi tanggungjawab syarikat tersebut untuk menyiapkan projek mengikut tempoh masa yang telah ditetapkan.

Iklan
Iklan
Fahmi Fadzil (kanan) ketika berucap pada Majlis Perhimpunan Bulanan Kementerian Komunikasi bagi Bulan September di Kementeriannya pada Jumaat.

"Saya tidak menyentuh negeri mana, tetapi perkara itu telah berlaku dan saya minta pasukan untuk meneliti (kerana) kita tidak mahu apa-apa kelewatan,” katanya kepada pemberita selepas Perhimpunan Bulanan Kementerian Komunikasi Bulan September di sini pada Jumaat.

Menjelas lanjut, Fahmi berkata, isu itu melibatkan syarikat yang mendapat projek di beberapa tempat, namun tidak melaksanakan projek itu sehingga pihak kementerian terpaksa memberi amaran paling keras.

Iklan

Malah, katanya, ada syarikat yang mengaku telah menjual projek itu kepada pihak lain, sekali gus menimbulkan persoalan cara syarikat asal memperoleh projek tersebut.

Fahmi yang juga jurucakap Kerajaan Perpaduan menjelaskan bahawa masalah itu telah berlaku sebelum beliau mengemudi Kementerian Komunikasi bersama-sama Timbalan Menteri Teo Nie Ching.

"Kita telah minta mereka supaya mempercepatkan proses. Sekiranya mereka gagal, tindakan berpandukan undang-undang boleh diambil. Setakat ini, saya serahkan kepada KSU (Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi Datuk Mohamad Fauzi Md Isa) untuk meneliti dan melaksanakan penambahbaikan kepada pelaksanaan projek tersebut,” katanya.

Iklan

Ditanya sama ada Kementerian Komunikasi akan menyenaraihitamkan syarikat berkenaan selepas ini, Fahmi berkata ia antara perkara yang akan dipertimbangkan memandangkan ia melibatkan integriti dan kemampuan syarikat itu dalam melunaskan tanggungjawab yang diamanahkan.

"Tapi yang penting bila ada orang mengadu tentang masalah Internet tiada, mereka menyalahkan saya, YBTM (Teo) dan kementerian. Namun, sejujurnya kesilapan itu atau sebahagian daripada masalahnya adalah berpunca daripada kontraktor yang telah dilantik, iaitu syarikat yang telah menerima kontrak untuk projek tersebut.

"Syarikat yang memperoleh projek perlu menunjukkan kemampuan, dan kegagalan untuk melaksanakan projek seharusnya mendorong kita untuk mengambil tindakan yang lebih tegas dan pantas. Saya beri contoh beberapa projek yang sepatutnya siap pada Disember 2022, tetapi sehingga hari ini masih belum siap. Bagaimana syarikat ini dilantik, saya tidak tahu,” kata Fahmi.

Terdahulu dalam ucapannya, Fahmi membangkitkan mengenai permasalahan capaian Internet di beberapa kawasan dan menyuarakan rasa tidak puas hati terhadap tahap kemajuan projek pembangunan Internet di kawasan itu yang berpunca daripada sikap pihak syarikat yang culas. - Bernama