Mesyuarat BRICS menangani cabaran keselamatan sosial global

Iklan
Presiden International Social Security Association (ISSA) yang juga Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Pertubuhan Keselamatan Sosial Malaysia (PERKESO), Dr Mohammed Azman Aziz Mohammed (tiga, kanan) ketika hadir pada Mesyuarat Menteri-Menteri Buruh dan Pekerjaan BRICS (LEMM) di Sochi, Rusia, 9 September lalu.

RUSIA – Mesyuarat Menteri-Menteri Buruh dan Pekerjaan BRICS (LEMM) menekankan keperluan mendesak untuk mewujudkan sistem keselamatan sosial yang lebih kukuh dan terangkum di seluruh dunia.

Diadakan selama dua hari mulai 9 September lalu di Sochi, Rusia, mesyuarat menghimpunkan menteri-menteri dan wakil-wakil utama dari negara-negara BRICS – Brazil, Rusia, India, China, dan Afrika Selatan; serta buat pertama kalinya, kehadiran negara-negara anggota baharu pasca peluasan BRICS termasuk Mesir, Iran, Arab Saudi, UAE dan Ethiopia – bertujuan bagi menangani cabaran utama dalam pasaran buruh serta perlindungan sosial.

Iklan
Iklan

Perbincangan terarah kepada penyesuaian semula rangka kerja keselamatan sosial untukmenangani isu-isu pekerjaan yang tidak menentu, ketidaksaksamaan pendapatan dan perubahan bentuk pekerjaan.

Hasil mesyuarat dijangka memberi kesan limpah ketara terhadap amalan buruh global, terutama di negara membangun yang sedang berusaha memperkukuh keupayaan institusi dan memperluaskan perlindungan kepada pekerja berisiko.

Iklan

Di tengah kemelut perubahan landskap geopolitik, Presiden International Social Security Association (ISSA), Datuk Seri Dr Mohammed Azman Aziz Mohammed, adalah antara yang hadir mewakili suara 333 ahli institusi dari162 negara pada mesyuarat tersebut.

Menangani ketidaksamaan

Iklan

Dr Mohammed Azman yang juga Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Pertubuhan Keselamatan Sosial Malaysia (PERKESO) berkata, perbincangan LEMM tepat pada masa kritikal ketika ini.

Ini kerana jelas beliau, banyak negara sedang menghadapi gangguan ekonomi dan perubahan teknologi yang melebarkan jurang pendapatan serta mencetuskan banyak situasi pekerjaan tidak menentu, terutama dalam ekonomi tidak formal dan gig.

Dr Mohammed Azman Aziz (tengah) sebagai Presiden ISSA bercakap pada mesyuarat LEMM.


Katanya lagi, sejajar usaha memperjuangkan pengukuhan sistem keselamatan sosial dan menangani rangkaian cabaran, beliau turut menekankan kepentingan mewujudkan rangka kerja perlindungan sosial yang boleh disesuaikan serta mapan, khususnya bagi pekerja berisiko.

"Perbincangan di Sochi bukan hanya berkisar tentang dasar, tetapi juga penyelesaian konkrit yang boleh membentuk semula sistem perlindungan sosial agar lebih terangkum.

"Fokus untuk menyesuaikan semula sistem keselamatan sosial dilihat amat penting dalam ekonomi membangun, di mana jurang dalam perlindungan sering menyebabkan segmen besar penduduk tidak dilindungi," katanya.

Penglibatan global Malaysia

Awal tahun ini, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan permohonan Malaysia untuk menyertai BRICS, selari usaha meningkatkan kerjasama antarabangsa dan mewakili suara ASEAN dalam forum-forum global.

Malaysia juga giat menjalin kerjasama antarabangsa dalam daya tahan pasaran buruh dan keselamatan sosial, terutama dalam usaha menyertai BRICS.

Peranan Dr. Mohammed Azman dalam LEMM BRICS antara lain menekankan pendirian proaktif ISSA dalam perbincangan berkenaan, sejajar keutamaan negara untuk menggalakkan lebih banyak keterangkuman sosial dan melindungi pekerja dalam ekonomi global yang semakin tidak menentu.

Visi global untuk keselamatan sosial

Penyertaan ISSA dalam perbincangan BRICS mencerminkan visi global yang lebih luas untuk keselamatan sosial, malah pakar menekankan keperluan penyelarasan sistem perlindungan sosial secara global susulan peningkatan mobiliti buruh dan pertumbuhan ekonomi gig.

Penglibatan dalam perbincangan ini menonjolkan kesediaan ISSA untuk menyumbang kepada pembangunan rangka kerja yang menyediakan perlindungan sejagat kepada pekerja di seluruh sempadan.

Ini amat relevan kerana banyak negara menghadapi cabaran dalam menyesuaikan model perlindungan sosial lama untuk memenuhi keperluan tenaga kerja moden yang dinamik.

Ketika BRICS terus meneroka cara untuk meningkatkan perlindungan sosial dalam kalangan negara anggotanya, Malaysia dijangka memainkan peranan penting dalam membentuk arah masa depan dasar pasaran buruh dan keselamatan sosial global.

Hasil mesyuarat Sochi ini dijangka mempengaruhi reformasi pasaran buruh antarabangsa, dengan fokus kepada menangani ketidaksamaan pendapatan dan memperluaskan perlindungan keselamatan sosial kepada pekerja dalam sektor informal