SHAH ALAM - Mahasiswa yang mengundi pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Mahkota diberi kelonggaran untuk mendaftar lewat ke universiti awam (UA) masing-masing sehinga 29 September depan.
Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Dr Zamry Abd Kadir berkata, ketetapan tersebut dibuat hasil perbincangan bersama 12 UA sebagai usaha memberi kemudahan kepada mahasiswa baharu menunaikan tanggungjawab sebagai pengundi.
"Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) mengambil maklum berkenaan hari pengundian bagi PRK DUN Mahkota yang akan berlangsung pada 28 September 2024.
"Bagi menghormati hak mengundi seperti yang tertakluk dalam Perlembagaan, KPT akan memberi kelonggaran kepada mahasiswa baharu yang mengundi untuk mendaftar lewat ke UA masing-masing," katanya menerusi kenyataan pada Jumaat.
PRK DUN Mahkota menyaksikan pertandingan satu lawan satu antara calon Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN), 28 September ini.
Pilihan raya itu dibuat selepas penyandangnya, Datuk Sharifah Azizah Syed Zain meninggal dunia pada 2 Ogos lalu akibat pendarahan dalaman.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan pengundian awal PRK DUN Mahkota pada 24 September manakala hari pengundian pada 28 September.
Dalam pada itu, Zambry memaklumkan, pelajar baharu yang terlibat boleh berhubung terus dengan pihak Hal Ehwal Pelajar (HEP) universiti masing-masing dan memaklumkan tentang status sebagai pengundi di PRK DUN Mahkota.