BANK Rakyat memperuntukan sebanyak RM115,000 bagi inisiatif melaksanakan program tanggungjawab sosial korporat (CSR) bersempena dengan ulang tahunnya yang ke-70 pada 28 September ini.
Ketua Pegawai Pemasaran dan Komunikasi, Nizam Sani berkata, peruntukan itu meliputi pelbagai aspek bantuan menerusi beberapa program antaranya Citra Kasih, Kebun Nuri Nutrisi Jubli Platinum, Kembara Media dan Semarak 70.
Menurutnya, semua program CSR itu dilaksanakan dalam tempoh tiga bulan bermula September hingga November.
"Semua sudah dijalankan kecuali Semarak 70 yang yang melibatkan sebanyak 70 masjid dan surau, itu akan diadakan pada 27 September ini.
"Tahun ini berbeza sedikit, peruntukan pun kita bagi lebih berbanding tahun lepas. Jadi ramai golongan yang terdiri daripada pelbagai lapisan masyarakat mendapat manfaat daripada CSR yang dijalankan ini.
"Kalau tahun lepas kita buat untuk sepanjang tahun namun kali ini lebih istimewa memandangkan ada peruntukan yang spesifik sempena Bank Rakyat menyambut ulang tahun yang ke-70," katanya pada Majlis Makan Malam Bank Rakyat Bersama Media.
Nizam memberitahu, media massa memainkan peranan yang amat penting dalam menyampaikan maklumat kepada masyarakat.
Jelasnya, keteguhan Bank Rakyat sebagai salah satu Institusi Kewangan Pembangunan negara selama tujuh dekad tidak mungkin dapat dikecapi tanpa sokongan berterusan daripada organisasi media.
"Menerusi penulisan dan penerbitan bahan berita berkaitan Bank Rakyat di pelbagai platform media mampu memberi impak besar kepada imej serta jenama sesebuah institusi.
"Oleh itu, program ini diadakan bagi meraikan rakan-rakan media yang sentiasa memberikan sokongan kepada Bank Rakyat selama ini khususnya dalam memberikan liputan positif pada setiap program serta aktiviti dilaksanakan sepanjang tahun," ujarnya.
Justeru beliau turut mengharapkan agar hubungan kerjasama erat antara Bank Rakyat dengan media yang sudah lama terjalin dapat diteruskan.
"Semoga dengan kerjasama itu seluruh masyarakat dapat memanfaatkan produk dan perkhidmatan patuh Syariah yang ditawarkan oleh Bank Rakyat.
"Saya juga berharap program bersama media ini dilihat sebagai platform untuk mengeratkan lagi hubungan silaturrahim di samping saling berinteraksi dan mengenal pasti pendekatan lebih efektif dalam usaha Bank Rakyat berhadapan dengan cabaran industri perbankan pada masa ini," katanya.