KUALA NERUS - Seorang pembantu pengemudi bot cedera parah di bahagian paha kiri akibat terkena kipas bot di Pulau Redang, di sini pada Khamis.
Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Asisten Komisioner Azli Mohd Noor berkata, mangsa, Muhammad Fakrul Rahim Rooslee, 26, mengalami kecederaan itu selepas tergelincir ke dalam air dan kemudian terkena kipas bot enjin sebelah kiri yang sedang berpusing.
"Dalam kejadian kira-kira 10.30 pagi itu, mangsa bersama pemandu bot yang membawa 14 penumpang bot untuk melakukan aktiviti 'Day Trip' di Pulau Redang tiba di pantai hadapan sebuah resort di pulau berkenaan.
"Semasa bot dalam keadaan mengundur, mangsa yang berada di belakang bot telah tergelincir menyebabkannya jatuh ke dalam air dan terkena kipas bot enjin sebelah kiri yang sedang berpusing.
"Mangsa yang cedera parah di bahagian kiri kemudiannya telah dibawa ke Klinik Kesihatan Pulau Redang tersebut untuk rawatan susulan," katanya dalam kenyataan di sini pada Jumaat.
Mengulas lanjut, Azli berkata, mangsa telah dibawa Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) dengan menggunakan bot Ambulan Klinik Kesihatan Pulau Redang untuk rawatan lanjut kira-kira jam 12.20 tengah hari pada hari yang sama.
"Mangsa kini berada di HSNZ untuk pembedahan dan rawatan susulan selain turut berasa dalam keadaan stabil," ujarnya.