Filem Tegkang menang Anugerah Pembikin Filem Baru Terbaik

Iklan
Syafie Naswip dan Michelle Lungan menjadi teraju utama Tegkang.

FILEM yang mengangkat kehidupan dataran tinggi di Bario, Sarawak, iaitu Tegkang telah dipilih sebagai pemenang Anugerah Pembikin Filem Baru Terbaik di First-Time Filmmaker Showcase, sebahagian daripada acara berprestij Lift-Off Sessions.

Kemenangan itu sekali gus melayakkan Tegkang bersaing di pusingan akhir Season Awards, sebuah acara tahunan di Pinewood Studios, London, di mana projek-projek terbaik musim Lift-Off diraikan.

Iklan
Iklan

Penulis dan pengarah filem itu, Josh Nawan meluahkan rasa terujanya dengan kemenangan tersebut.

Katanya, Tegkang yang bermaksud Pelangi dalam bahasa Kelabit telah berjaya mendapat tempat dalam kalangan juri dan diiktiraf bersama begitu banyak filem hebat lain.

Iklan

"Masyarakat Kelabit, sebuah kaum Dayak pribumi dari tanah tinggi Sarawak, jarang diwakili dalam dunia seni, jadi pengiktirafan ini sangat bermakna bagi kami.

"Saya amat menghargai peluang untuk berkongsi kisah yang berakar umbi dalam warisan sebegini dan bersyukur kerana filem ini akan disiarkan kepada lebih ramai lagi penonton di luar sana," katanya.

Tegkang memaparkan keunikan Bario, Sarawak.

Iklan

Tegkang menampilkan pelakon popular iaitu Syafie Naswip dan Michelle Lungan selaku teraju utama, mengisahkan kehidupan di sebuah kampung terpencil, di mana sebuah rahsia yang disimpan rapi selama bertahun-tahun mula terbongkar dengan kehadiran seorang pengunjung yang menjalin persahabatan dengan seorang gadis di kampung tersebut.

Filem tersebut memaparkan keunikan Bario bukan sahaja sebagai lokasi indah yang menarik, tetapi juga sebagai tempat yang kaya dengan pengalaman budaya, termasuk perayaan tradisional dan upacara turun-temurun yang jarang dilihat oleh dunia luar.

Sekadar info, Lift-Off First-Time Filmmaker Sessions adalah pameran bulanan dalam talian yang didedikasikan untuk menyokong karya pengarah-pengarah baru dan menayangkan koleksi filem indie pendek dan panjang dari seluruh dunia.

Pertandingan ini terdiri daripada dua pusingan: pusingan pertama di mana penonton global mengundi filem kegemaran mereka, diikuti dengan penilaian terperinci oleh juri dalaman Lift-Off.