SHAH ALAM - Seramai 500 penunggang basikal dari seluruh negara telah menyertai Kayuhan Muhibah #RideWithBB di Cyberjaya anjuran BikeBaju dengan sokongan Tourism Malaysia.
Acara tersebut diadakan pada 16 September lalu bagi memupuk semangat perpaduan dan patriotisme selain meraikan kecintaan kepada negara.
Pengarah Urusannya, Yim Wai Soon berkata, acara tersebut bukan sahaja mempromosikan budaya dan sukan, tetapi mempamerkan pelbagai tarikan di Malaysia dalam kalangan penunggang basikal tempatan serta antarabangsa.
Menurutnya, acara tersebut merupakan usaha meletakkan Malaysia sebagai destinasi utama pelancongan sukan dan memberi pengalaman budaya kepada masyarakat antarabangsa.
"Acara ini juga menyokong ekonomi tempatan dan memberikan manfaat kepada pengusaha perniagaan di kawasan sekitarnya.
"Kayuhan tahun ini akan menggunakan tiga laluan yang diterajui oleh pelumba basikal berpengalaman, termasuk permata negara, pasukan berbasikal Terengganu yang bakal memainkan peranan dalam membimbing peserta.
Dalam pada itu, menurut Wai Soon, acara tersebut juga menggalakkan amalan gaya hidup sihat.
Tambah beliau, sukan dapat mempertingkatkan kesejahteraan fizikal dan mental serta mengeratkan hubungan silaturahim antara penunggang basikal.
"Acara ini dikenali ramai dengan keunikannya yang bersifat terangkum, santai, dan meraikan pelumba daripada semua peringkat untuk turut serta tanpa mengira mereka berpengalaman atau tidak.
"Kita galakkan semua hadir dan mengambil bahagian dalam usaha memupuk semangat kekitaan, tatkala persahabatan terjalin dan cinta pada sukan berbasikal dirai bersama,” katanya.
Sementara itu, Wai Soon berkata, acara tersebut turut menampilkan karya seni jiwa patriotik daripada pelumba basikal dan artis yang sedang meningkat naik iaitu, Hasnee Rahman.
Selain itu, mereka juga berhasrat untuk mengumpulkan dana perubatan buat Hasnee menerusi acara tersebut.
"BikeBaju berhasrat memanfaatkan acara ini untuk mengumpul dana bagi rawatan perubatan Hasnee, sejajar dengan semangat kekitaan iaitu susah senang kita hadapi bersama,” katanya.