Guan Eng setuju perantara serah wang tunai RM2 juta - Saksi

Iklan
Lim Guan Eng
KUALA LUMPUR - Mahkamah Sesyen hari ini diberitahu bahawa Lim Guan Eng bersetuju ahli perniagaan G.Gnanaraja dijadikan sebagai pengantara dalam penyerahan wang kepada bekas Ketua Menteri Pulau Pinang itu.

Pengarah Consortium Zenith Construction Sdn Bhd (CZCSB), Datuk Zarul Ahmad Mohd Zulkifli ,65, yang merupakan saksi utama pendakwaan, berkata, beliau mengesyorkan Gnanaraja sebagai pengantara untuk penyerahan wang bagi mengelak dirinya dipantau Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) .

"Insiden itu berlaku pada 17 Ogos 2017, ketika saya berjumpa Guan Eng di pejabatnya pada jam 7 petang. Saya memberitahu Guan Eng bahawa Gnanaraja adalah orang Barisan Nasional (BN) yang baik dengan PM (Perdana Menteri ketika itu)...dan adalah orang paling layak untuk menjadi pengantara.

"Lagi pun, pada masa itu, saya dipantau oleh SPRM dan risiko yang tinggi jika saya membuat pembayaran itu secara terus kepada Guan Eng. Saya juga memerlukan pengantara, sebab kemungkinan besar jumlah duit akan menjadi lebih banyak di masa akan datang untuk saya memberikan kepada Guan Eng,” kata Zarul Ahmad.

Beliau berkata demikian ketika semasa prosiding bagi mencabar kredibilitinya yang didakwa telah memberikan keterangan bercanggah kepada SPRM dan di mahkamah berhubung kes penipuan Gnanaraja membabitkan wang berjumlah RM19 juta berkaitan kes rasuah projek terowong dasar laut di Pulau Pinang.

Disoal balas oleh Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Wan Shaharuddin Wan Ladin tentang respons Guan Eng berkaitan cadangan itu, Zarul Ahmad menjawab:"YB Guan Eng bersetuju dengan cadangan itu dan beliau menyatakan akan ke Kuala Lumpur tidak lama lagi dan ingin berjumpa dengan Gnanaraja.

"Selepas mendapat persetujuan Guan Eng, beliau kemudian memaklumkan perkara itu kepada Gnanaraja melalui perbualan WhatsApp pada hari yang sama iaitu pada 17 Ogos 2017.”

Wan Shaharuddin: Apakah reaksi Gnanaraja? Zarul Ahmad menjawab"Gnanaraja memang suka sebab dia dapat berjumpa dengan YB Guan Eng,”.

Ketika Wan Shaharuddin merujuk kepada perbualan WhatsApp Zarul Ahmad yang menyatakan 'good for us sir' manakala Gnanaraja membalas 'fantastic Dato', saksi itu menjelaskan bahawa komunikasi itu mengenai beliau sudah ada pengantara untuk memberi RM2 juta kepada Guan Eng.

"Gnanaraja kemudian membalas WhatsApp saya serta menyatakan 'fantastic Dato' kerana dia (Gnanaraja) akan menjadi pengantara dan dapat berkawan dengan Guan Eng.

"Selain itu, saya juga boleh menggunakan Gnanaraja sebagai pengantara pada masa akan datang dan juga untuk pembayaran RM2 juta ini," katanya.

Prosiding mencabar kredibiliti saksi itu di hadapan Hakim Azura Alwi itu akan bersambung pada 2 Okt ini.

Mengikut pertuduhan pindaan pertama, Guan Eng, 63, didakwa sebagai Ketua Menteri Pulau Pinang, menggunakan kedudukannya untuk menerima suapan RM3.3 juta.

Ia bagi membantu syarikat Zarul Ahmad dilantik bagi melaksanakan Projek Pembinaan Jalan-Jalan Utama dan Terowong di Pulau Pinang, yang bernilai RM6,341,383,702.

Kesalahan didakwa dilakukan antara Januari 2011 dan Ogos 2017 di Pejabat Ketua Menteri Pulau Pinang.

Bagi pertuduhan pindaan kedua, beliau dituduh meminta suapan 10 peratus daripada keuntungan yang akan diperoleh daripada Zarul Ahmad, sebagai upah bagi projek sama, dan perbuatan itu didakwa dilakukan berhampiran Hotel The Gardens, Lingkaran Syed Putra, Mid Valley City antara 12.30 tengah malam dan 2 pagi pada Mac 2011.

Guan Eng juga berdepan dua pertuduhan menyebabkan dua lot tanah milik Kerajaan Negeri Pulau Pinang bernilai RM208.8 juta, dilupuskan kepada syarikat pemaju berkaitan projek sama, di Pejabat Tanah dan Galian Negeri Pulau Pinang, Komtar pada 17 Februari 2015 dan 22 Mac 2017. - Bernama