GEORGE TOWN - Mufti Pulau Pinang, Datuk Dr Mohd Sukki Othman tidak menolak kemungkinan kumpulan ajaran sesat menggunakan sihir untuk membuatkan pengikut mereka patuh dan menuruti segala perintah yang diberikan.
Selain itu, faktor makanan dan minuman yang diambil mereka terutamanya air berkat daripada benda-benda kotor termasuk air bulu atau air basuhan kaki pemimpin membuatkan mereka mudah dikawal dan mengikut arahan membuta tuli tanpa rasa rasional.
Menurutnya, mereka yang didoktrinisasi dan 'brainwash' sejak kecil juga antara punca mereka tiada rasional dalam kehidupan dan akan terus hanyut dengan dakyah-dakyah palsu serta kepercayaan ekstrim.
"Sebab biasanya dalam ajaran sesat ini kenapa dia mudah terpengaruh sebab guru kadang-kadang atau orang yang bawa ajaran sesat ini boleh buat perkara yang lain dari orang lain...mungkin ada benda pelik sedikit dan luar biasa sikit, ini adalah perbuatan sihir yang dibantu oleh syaitan,"katanya.
Beliau berkata berkata demikian ketika menjadi tetamu dalam program Nota Rohani yang bertajuk Bahaya Ajaran Ekstrim di Bernama Radio pada Jumaat.
Beliau berkata, disebabkan faktor-faktor berkenaan menyebabkan orang ramai terpengaruh termasuk golongan yang rapuh ilmunya.
Tambahnya disebabkan terpesona dengan ajaran yang dibawa kumpulan ajaran sesat selain dijanjikan dengan pelbagai syafaat dan segalanya mudah dalam menjalani kehidupan menyebabkan ramai terjebak
"Ada sesetengah orang dia nak mudah, dia tak nak susah sebab itu kita tengok ajaran sesat sampai tahap sembahyang pun pakai niat sahaja. Dia tak nak kehidupannya satu kehidupan yang sukar dan susah selain pelbagai janji kononnya mendapat kebaikan dan mendapat syafaat tambah-tambah perkara yang mistik serta ghaib. Maka lagi senang nak dimanipulasikan oleh golongan tertentu.
"Dari segi psikologi mereka akan menurut membuta tuli, tiada rasional dalam kehidupan dan akan terus hanyut," tambahnya
Mohd Sukki berkata, semua pihak harus berperanan dalam menangkis penyebaran ajaran sesat di negara ini terutamanya di zaman kemajuan media sosial yang membolehkan sesiapa sahaja memberikan pandangan dan hujah mereka sendiri.
"Kita lihat di media sosial semua orang boleh bercakap, bagi idea kadang-kadang dengan falsafah yang tinggi hingga terkesima, terkejut dan kagum mendengarnya.
"Diatur perkataan, dengan sastera kata-kata yang memukau dan ini boleh memberi pengaruh sekiranya mereka menerima begitu sahaja tanpa pertimbangan dan asas agama yang baik,"ujarnya.
Justeru, beliau berkata, kesedaran masyarakat amat penting, selain perlu cakna sekiranya melihat ada perkara pelik berlaku dalam masyarakat dan cuba selidik untuk menyeru makruf dan mencegah mungkar dengan merujuk kepada pihak berautoriti.