Individu buat 'content' di kawasan banjir berdepan tindakan - Polis

Iklan
Fisol Salleh. Foto Bernama

ALOR SETAR - Polis Kedah akan mengambil tindakan terhadap mana-mana individu didapati memasuki kawasan yang terjejas bencana banjir hanya sekadar untuk membuat kandungan (content) di media sosial.

Iklan
Iklan

Ketua Polis Kedah, Datuk Fisol Salleh berkata, orang ramai sepatutnya bersimpati dengan nasib menimpa mangsa banjir dan bukannya mengambil kesempatan atas kesengsaraan orang lain demi mengejar tontonan atau ‘rating’ yang tinggi.

"Kalau mereka buat ‘content’ yang boleh membantu pihak penguat kuasa, contohnya menyalurkan maklumat berkaitan bencana banjir itu tidak apa, kerana ia akan membantu semua pihak. Tetapi, kalau mereka suka-suka buat video untuk naikkan ‘rating’, itu tidak boleh.

Iklan

"Sekiranya polis mengesan ada pihak yang membuat siaran langsung di tempat yang bahaya, kita akan sekat dan ambil tindakan,” katanya ketika ditemui di pusat pemindahan sementara (PPS) Sekolah Kebangsaan Bukit Hijau di Pokok Sena hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai tindakan segelintir mangsa yang sanggup keluar dari PPS dan pergi ke kawasan bencana banjir hanya untuk membuat ‘content’ di laman media sosial mereka.

Iklan

Sementara itu, Fisol berkata, anggota polis di setiap daerah dan kawasan yang terjejas dengan bencana banjir juga diarahkan untuk melakukan rondaan secara berkala bagi memastikan tiada kejadian jenayah seperti kes pecah rumah berlaku pada rumah mangsa-mangsa banjir.

"Apabila berlaku bencana ini, biasanya orang tidak mahu berpindah kerana sayangkan harta, tetapi dalam keadaan seperti banjir ini, nyawa lagi penting. Kita juga telah mengenal pasti lorong-lorong tikus di kawasan yang sukar untuk dimasuki oleh anggota polis bagi memastikan tiada kejadian jenayah yang berlaku,” katanya.

Dalam perkembangan lain, beliau berkata, polis tidak menolak kemungkinan berlaku faktor kecuaian berhubung kejadian seorang kanak-kanak perempuan berusia dua tahun yang ditemui lemas di dalam longkang di Lorong Seri, di sini semalam.

"Kita akan panggil keluarga kanak-kanak itu bagi siasatan lanjut dan ia menjurus kepada kecuaian dan hasil bedah siasat yang selesai tadi mendapati mangsa meninggal dunia akibat lemas. Siasatan akan diteruskan di bawah Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2021,” katanya.

Terdahulu, Bernama melaporkan mayat Nur Aisha Misya Afifah Abdul Fattah, 2, ditemukan lemas di dalam longkang oleh orang kampung pada pukul 8 malam semalam. - Bernama