Terengganu fatwa GISBH sesat jika ada bukti jelas - Mufti

Iklan
Mohamad Sabri

KUALA TERENGGANU - Terengganu akan mengeluarkan fatwa ajaran dalam GISB Holdings Sdn Bhd (GISBH) adalah sesat sekiranya terdapat bukti-bukti jelas yang menunjukkan organisasi itu mengandungi unsur ajaran tersebut.

Mufti Terengganu, Datuk Dr Mohamad Sabri Harun berkata, pihaknya akan mengikut prosedur iaitu bermula daripada muzakarah sebelum dibawa ke negeri untuk difatwakan ajaran tersebut sebagai sesat.

Iklan
Iklan

"Mengenai kes di Perlis itu sudah ada aduan dan perkara itu juga dibawa ke pihak Jawatankuasa Muzakarah Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam (MKI). Di Terengganu setakat ini tiada aduan berhubung ajaran tersebut.

"Sekiranya ada aduan di Terengganu maka kita bermuzakarah serta tunggu keputusan daripada MKI dan apabila ada bukti-bukti yang kukuh yang jelas barulah kita akan fatwakan ajaran GISBH itu adalah sesat," katanya ketika dihubungi Sinar Harian di sini pada Jumaat.

Iklan

Terdahulu, Jawatankuasa Fatwa Negeri Perlis memutuskan kepercayaan dan ajaran dalam GISBH mengandungi unsur ajaran sesat khususnya batiniah sekali gus menjadi negeri pertama mengisytiharkan organisasi berkenaan sebagai kumpulan ajaran sesat.

Mufti Perlis, Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin, berkata fatwa dikeluarkan selepas menerima bukti meyakinkan untuk jawatankuasa berkenaan memutuskan bahawa organisasi berkenaan sesat.

Iklan

Mengulas lanjut, Mohamad Sabri berkata, pihaknya memandang serius berhubung gerakan GISBH meskipun tiada aduan dilaporkan setakat ini mengenai ajaran tersebut di Terengganu.

"Perkara itu adalah masalah negara yang perlu ditangani secara bersama dan perlu dipandang serius.

"Jika ada ada aduan serius di peringkat kebangsaan maka biasanya ia akan dibincangkan di peringkat MKI terlebih dahulu sebelum dibawa ke negeri untuk difatwakan ia adalah ajaran sesat," jelas beliau.