Terengganu keluar fatwa GISBH sesat jika ada bukti jelas - Mufti

Iklan
Terengganu hanya akan mengeluarkan fatwa mengenai kepercayaan dan ajaran dalam GISBH sebagai sesat sekiranya terdapat bukti jelas. Gambar kecil: Mohamad Sabri

KUALA TERENGGANU - Terengganu hanya akan mengeluarkan fatwa mengenai kepercayaan dan ajaran dalam GISB Holdings Sdn Bhd (GISBH) sebagai sesat sekiranya terdapat bukti jelas.

Mufti Terengganu, Datuk Dr Mohamad Sabri Harun berkata, ketetapan yang akan dibuat adalah mengikut prosedur berdasarkan Jawatankuasa Muzakarah Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam (MKI).

Iklan
Iklan

"Biasanya MKI akan putuskan bahawa (sesuatu) ajaran sesat dan selepas itu Jawatankuasa Fatwa Negeri Terengganu mengeluarkan fatwa berkenaan perkara tersebut.

"Di Terengganu setakat ini tiada aduan berhubung ajaran tersebut. Sekiranya ada aduan, kita akan bermuzakarah serta tunggu keputusan daripada MKI dan apabila ada bukti-bukti kukuh yang jelas barulah kita fatwakan ajaran dalam GISBH itu sesat," katanya ketika dihubungi hari ini.

Iklan

Mohamad Sabri berkata, meskipun tiada laporan berhubung ajaran tersebut di Terengganu, pihaknya tetap memandang serius gerakan GISBH dan berpandangan semua pihak perlu berganding bahu dalam menangani isu itu.

Terdahulu, Jawatankuasa Fatwa Negeri Perlis memutuskan kepercayaan dan ajaran dalam GISBH mengandungi unsur ajaran sesat khususnya batiniah.

Iklan

Mufti Perlis, Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin berkata, ia juga kesinambungan daripada ajaran al-Arqam yang telah difatwakan sesat. - Bernama