Kes rogol: Da'i Syed dilepaskan sementara hingga rayuan didengar

Iklan
Da'i Syed dilepaskan sementara oleh Mahkamah Tinggi di sini pada Jumaat.

SHAH ALAM - Selepas 21 hari meringkuk di Penjara Kajang kerana merogol seorang wanita, pada lima tahun lalu, pendakwah selebriti, Da'i Syed atau nama sebenarnya Syed Shah Iqmal Syed Mohd Shaiful dilepaskan sementara oleh Mahkamah Tinggi di sini pada Jumaat.

Hakim, Datuk Aslam Zainuddin memutuskan demikian selepas membenarkan permohonan peguam, Mohamed Baharudeen Mohamed Ariff yang mewakili Syed Shah Iqmal, 29, untuk menangguhkan pelaksanaan hukuman itu, hingga rayuan didengar dan diputuskan.

Iklan
Iklan

Ia membabitkan rayuan bapa kepada seorang anak itu, atas keputusan Mahkamah Sesyen di sini pada 30 Ogos lalu, yang menjatuhinya hukuman penjara 10 tahun dan tiga sebatan atas satu pertuduhan terbabit.

Isteri Da'i Syed, Nurulhana Ismail (dua dari kanan) bergambar bersama Abu Bakar dan barisan peguam lain berjaya dalam permohonan untuk menggantung pelaksanaan hukuman kerana merogol seorang wanita.

Ketika dihubungi, Datuk Abu Bakar mengesahkan perkara itu dan menyatakan bahawa, sesi pendengaran permohonan penggantungan pelaksanaan itu, dibuat mengikut Seksyen 311 Kanun Tatacara Jenayah.

Iklan

Menurutnya, ia membabitkan Syed Shah Iqmal sebagai pemohon manakala pihak pendakwaan hadir selaku responden di Mahkamah Tinggi ini.

Mahkamah membenarkan permohonan tersebut dengan beberapa syarat.

Iklan

Bagaimanapun, beliau tidak mendedahkan butiran syarat berkenaan secara terperinci.

Menurut Datuk Abu Bakar, pemohon turut diwakili peguam bela dari Tetuan Hafarizam Wan & Aisha Mubarak iaitu Datuk Wan Azmir Wan Majid, Mohamed Baharudeen Mohamed Ariff dan Muhammad Amin Othman.

Sementara itu, pengurusan kes rayuan terbabit menetapkan 24 September ini untuk pengurusan kes.

Pada 30 Ogos lalu, Syed Shah Iqmal menangis teresak-esak selepas Mahkamah Sesyen di sini menjatuhinya hukuman penjara selama 10 tahun dan tiga sebatan atas satu pertuduhan merogol seorang wanita, pada lima tahun lalu.

Hakim, Norazlin Othman memerintahkan lelaki itu dihukum serta-merta selepas didapati dia bersalah susulan gagal menimbulkan keraguan munasabah di akhir kes pembelaan.

Semasa membaca keputusan penghakiman, beliau berkata, pembelaan tertuduh bersifat penafian dan tidak cukup untuk mematahkan kes pendakwaan.

Pada 10 Disember 2020, Syed Shah Iqmal mengaku tidak bersalah atas satu pertuduhan merogol wanita berusia 23 tahun (ketika itu) di bilik sebuah kondominium di I-City, Seksyen 7 di sini, pada jam 1.35 pagi, 11 September 2019 lalu.

Atas kesalahan tersebut, dia yang didakwa mengikut Seksyen 376 (1) Kanun Keseksaan berdepan hukuman penjara maksimum 20 tahun serta sebatan, jika sabit kesalahan.

Pada 10 April tahun lalu, Mahkamah Sesyen melepaskan dan membebaskan Syed Shah Iqmal daripada pertuduhan itu selepas pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie terhadapnya, di akhir kes pendakwaan.

Bagaimanapun, Mahkamah Tinggi di sini memerintahkan dia membela diri atas pertuduhan terbabit selepas membenarkan rayuan pihak pendakwaan.

Selain kes ini, dia turut didakwa atas dua pertuduhan melakukan persetubuhan di luar tabii dan mencabul seorang penuntut sebuah kolej swasta, dilepaskan dan membebaskan oleh Mahkamah Sesyen Petaling Jaya pada 31 Mei 2022 lalu, selepas pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie terhadapnya.