JUARA edisi 2013 dan 2017, Johor tekad melebarkan rentak kemenangan apabila berdepan Kuala Lumpur dalam aksi kedua Kumpulan B Kejuaraan Ragbi Piala Agong 2024 di Stadium Ragbi Johor pada Sabtu.
Malah pengendali Johor, Abdul Hanis Mokhtar menyifatkan keputusan positif perlawanan tersebut juga penting buat Kuala Lumpur dalam menyalakan semula peluang mara.
"Saya menjangkakan satu perlawanan yang sengit dengan misi kedua-dua pasukan adalah kemenangan.
"Kami akan berusaha sehabis baik untuk meneruskan momentum kemenangan yang diraih ke atas Terengganu sebelum ini
"Kami juga pasti Kuala Lumpur secara psikologinya dalam keadaan bersemangat untuk memenangi perrlawanan selepas menang ke atas Perlis
"Jadi kami perlu 100 peratus bersedia, selain berwaspada dengan muslihat pasukan Kuala Lumpur dalam misi kami untuk meraih kemenangan, Insya-ALLAH," katanya kepada Sukan Sinar pada Jumaat.
Anak buah Abdul Hanis membuka kempen Kejuaraan Piala Agong edisi 40 dengan menjinakkan juara 2019, Terengganu 24-17.
Kuala Lumpur pula menyingkap saingan rentak kurang menyakinkan apabila tewas 17-54 kepada Terengganu sebelum bangkit menang tipis 21-20 ke atas Perlis.
Terengganu masih memimpin kumpulan B dengan tiga mata diikuti Johor (tiga mata) yang kurang satu perlawanan, ketiga Kuala Lumpur (3), Perlis (0).
Kumpulan A diungguli PDRM (enam mata) diikuti Perak (tiga mata), kurang satu perlawanan, Selangor (tiga), manakala ATM dan Pahang tanpa sebarang mata.