KUALA LUMPUR - [DIKEMAS KINI] Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata Malaysia berharap ASEAN akan menerapkan visi bersama yang menumpukan kepada ekonomi, perdagangan, pelaburan, dan kerjasama dalam kalangan negara jiran bagi memastikan rantau ini kekal rancak.
Beliau berkata, ASEAN adalah antara subrantau paling aman di peringkat global dan ekonomi yang berdaya tahan.
"Persediaan Malaysia untuk memegang jawatan pengerusi ASEAN tiba pada titik perubahan bagi pertumbuhan dan peluang.
"Kami akan memegang tanggungjawab besar untuk menilai semula Visi Komuniti ASEAN 2025 dan menetapkan aspirasi untuk 10 tahun akan datang," katanya dalam ucap tama pada Majlis Makan Malam Ulang Tahun ke-140 HSBC Malaysia di sini malam ini.
Perdana Menteri berkata, usaha kerajaan untuk mentransformasikan ekonomi Malaysia telah mula membuahkan hasil sejak dua suku lepas.
"Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) kita berkembang melebihi unjuran, dengan suku kedua 2024 berkembang 5.9 peratus, paling kukuh sejak suku ketiga 2017," kata Anwar.
Beliau turut menegaskan bahawa Kerajaan Madani telah menggandakan usaha untuk menarik pelaburan domestik dan asing bagi memulakan transformasi ekonomi.
Menurut Anwar, sebagai sebuah ekonomi yang kecil dan berkembang, Malaysia perlu menjalinkan persahabatan dan memanfaatkan setiap peluang yang ada bagi meningkatkan asas ekonomi, perdagangan dan pelaburan negara.
"Itulah sebabnya kita menegaskan prinsip pemusatan di Malaysia dan ASEAN, membolehkan kita meneruskan hubungan baik dengan Barat iaitu Amerika Syarikat, Kanada dan Jerman.
"Selain itu, jalinan persahabatan yang semakin berkembang melalui perkongsian strategik komprehensif kita dengan China, iaitu selaku penggiat penting di rantau ini, kini turut meneroka misalnya Rusia," katanya.
Sementara itu, Perdana Menteri berkata, sumbangan HSBC Malaysia kepada negara telah terbukti berdaya tahan dan berkekalan sejak 140 tahun lepas.
"Bagi memacu ekonomi Malaysia agar lebih jauh, kami memerlukan kepakaran, sumbangan, pandangan dan cadangan anda (HSBC Malaysia) berdasarkan pengalaman luas anda mengenai cara Malaysia boleh membangunkan dasar bersesuaian dan tadbir urus yang baik.
"Kami pastinya akan berkongsi dengan rakan kami dalam ASEAN," kata Anwar. - Bernama