Komuniti sempadan Lubnan senasib penduduk Gaza

Iklan
Data rasmi menunjukkan sekurang-kurangnya seorang penduduk Gaza sudah berpindah lebih lima kali

BEIRUT - Israel menggugurkan risalah mengandungi arahan berpindah secara paksa ke atas komuniti di sempadan Lubnan, beberapa hari sebelum gelombang serangan siber ganas menyasarkan pejuang Hizbullah menggemparkan negara itu.

Perintah dikeluarkan ke atas penduduk di Wazzani dan kawasan sekitarnya pada Ahad sama seperti diberikan ke atas penduduk Palestin di Genting Gaza sejak 11 bulan lalu.

Iklan
Iklan

Zon selamat ciptaan Israel di al-Mawasi juga menjadi sasaran bedilan rejim Zionis.

Arahan dalam bahasa Arab itu tertera:

Iklan

Iklan

Ia mengundang kebimbangan jika risalah tersebut adalah isyarat jelas perang berskala besar bakal tercetus dalam masa terdekat.

Pasukan Pertahanan Israel (IDF) bagaimanapun cuba berselindung apabila menyatakan briged yang melakukan operasi menggugurkan risalah itu kononnya tidak mendapat kelulusan pegawai atasan.

Ia juga menjelaskan tiada pemindahan besar-besaran perlu dilaksanakan buat masa ini, namun beberapa pihak melihat 'operasi olok-olok' itu mungkin sebahagian daripada persediaan menghadapi peperangan sebenar setelah perang retorik Hizbullah-Israel berlarutan selama lebih dua bulan sejak pembunuhan pemimpin Hamas, Ismail Haniyeh di Teheran.

Perintah berpindah itu turut menyebabkan ada ahli keluarga yang terpisah terutamanya kanak-kanak.

Wazzani merupakan kawasan pertanian yang turut didiami kumpulan pelarian Syria yang mencari sumber pendapatan di ladang milik penduduk tempatan.

"Arahan berpindah secara paksa itu telah menyebabkan sebahagian pelarian Syria mula meninggalkan kawasan itu.

"Tetapi, petani tempatan seperti kami enggan berganjak kerana masing-masing mempunyai haiwan ternakan. Kami juga tidak akan berganjak dari tanah kami,” kata Datuk Bandar Wazzani, Ahmed al- Mohammed.

Sejak pertempuran rentas sempadan antara pejuang Hizbullah dan rejim Zionis tercetus, ratusan ribu orang awam telah berpindah dari perkampungan dan bandar di Beirut-Tel Aviv kerana bimbang jika terperangkap di dalam zon tempur.

LEBIH 55 ARAHAN BERPINDAH

Keadaan sama juga dihadapi penduduk Gaza yang terpaksa berpindah-randah tanpa arah tuju di tengah-tengah malapetaka kemanusiaan yang semakin buruk di wilayah tersebut.

Jurucakap kepada Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Stephane Dujarric berkata, IDF telah mengeluarkan lebih 55 arahan pemindahan paksa ke atas lebih 85 peratus populasi di enklaf berkenaan sejak perang genosid itu tercetus pada 7 Oktober lalu.

"Tel Aviv gagal memberi jaminan atau memastikan keselamatan golongan itu.

"Perintah berpindah itu telah mengakibatkan ada ahli keluarga terutamanya kanak-kanak yang terpisah antara satu sama lain selain menjejaskan sistem perlindungan sosial terutamanya untuk wanita dan kanak-kanak,” tegasnya.

Penduduk Gaza sudah lali dengan arahan pemindahan paksa IDF sejak 11 bulan lalu.

Dujarric juga memberi amaran Pejabat PBB untuk Penyelarasan Hal Ehwal Kemanusiaan sudah tidak dapat mengakses utara Gaza selama hampir sebulan selepas ia masih menjadi medan tempur.

Sehingga kini, IDF terus menyasarkan konvoi bantuan ke Gaza, sekali gus mengancam kakitangan bantuan hingga menjejaskan penghantaran bekalan penting ke wilayah tersebut. - AFP/Agensi