Nilai pasaran Arif Aiman bakal melonjak

Iklan
Arif Aiman. Foto FB Johor Southern Tigers

DUA gol yang dijaringkan bintang sensasi Johor Darul Ta'zim (JDT), Arif Aiman Hanapi dalam aksi Liga Juara-Juara Asia Elit (ACLE) 2024/25 menentang Shanghai Port di Stadium Bola Sepak Pudong, China sekali lagi membuktikan kemampuan dimiliki pemain berusia 22 tahun itu di pentas Asia.

Jurulatih berpengalaman, Sulaiman Hussin berkata, Arif Aiman semakin mengukuhkan kualitinya sebagai pemain terbaik dimiliki negara dan aksi luar biasanya bakal melonjakkan nilai pasaran pemain sayap skuad Harimau Selatan itu.

Iklan
Iklan

Malah, beliau mengharapkan ada pencari bakat atau pasukan besar luar negara seperti dari Jepun yang boleh membawa Arif Aiman beraksi di liga luar negara.

"Kalau diikutkan musim ini, Arif Aiman nampak agak bergelut mencari balik momentum selepas mengalami kecederaan baru-baru ini. Tetapi, saya lihat selepas dia jaringkan dua gol di ACLE, dia membuktikan dah dapat balik rentak dia.

Iklan

"Namun, apa yang lebih penting dua gol di ACLE sebenarnya telah membuatkan nilai Arif Aiman semakin melonjak tinggi dan dia makin dikenali di pentas Asia.

"Saya sangat mengharapkan ada pencari bakat dari luar negara nampak potensinya dan bawa Arif Aiman keluar dari Liga Super untuk menyerlahkan lagi bakatnya," katanya kepada Sukan Sinar.

Iklan

Pemain sayap lincah itu tampil memukau dalam aksi menentang pendahulu Liga Super China (CSL) itu dengan dua gol menakjubkan sekali gus membantu JDT mengikat tuan rumah 2-2.

Untuk rekod, Arif Aiman memiliki tanda harga RM2.56 juta seperti yang diletakkan laman transfermarkt berdasarkan penilaian pada 18 Disember tahun lalu.

Dalam pada itu, Sulaiman turut melihat pemain kelahiran Pahang itu mampu memberikan persembahan lebih baik dan tidak melihat pemain itu kini telah berada pada puncak prestasinya.

"Saya percaya kalau dia berada dalam pasukan yang lebih besar di luar negara, potensi dia akan lebih bagus. Malah, saya juga tidak terkejut jika dia akan beraksi di Eropah nanti.

"Saya melihat Arif Aiman juga mampu buktikan bahawa dia boleh kekal lama di luar negara tidak seperti pemain kita yang pernah berkelana sebelum ini.

"Ia kerana Arif Aiman memiliki bakat semula jadi yang jarang kita ada dan tahapnya sudah mencapai tahap pemain terbaik di Asia ini," katanya.