Dipukul, mata dicungkil ketika sertai Festival Vespa

Iklan
Gara-gara pertikaman lidah seorang lelaki dipukul sehingga matanya dicungkil dalam satu kejadian yang berlaku di Kabupaten Bogor, Jawa Barat pada Sabtu lalu.

JAKARTA - Gara-gara pertikaman lidah seorang lelaki dipukul sehingga matanya dicungkil dalam satu kejadian yang berlaku di Kabupaten Bogor, Jawa Barat pada Sabtu lalu.

Mangsa dikenali Fauzan diperlakukan dengan zalim semasa dia mengikuti sebuah Festival Vespa yang berlangsung di Gunung Putri, Kabupaten Bogor.

Iklan
Iklan

Seorang saksi, Rifail, 28 tahun ketika menceritakan detik-detik kejadian berkata, mangsa pada mulanya berkumpul bersama kawan-kawannya semasa menyertai festival yang berlangsung pada malam Sabtu itu.

"Selepas itu mangsa mengajak saya berjalan-jalan di sekitar lokasi, kemudian dia disapa oleh kawan lamanya.

Iklan

"Tidak lama itu, saya dapati berlakunya pergaduhan mulut dan mangsa dipukul, saya cuba membantu dia tetapi turut dipukul," katanya kepada wartawan pada Jumaat.

Tambahnya, dia juga mendapati mangsa dicungkil mata selepas pergaduhan itu mula reda.

Iklan

"Mangsa kemudiannya dibawa ke hospital untuk mendapatkan rawatan susulan," ujarnya.

Dalam pada itu ketika ditanya tentang pelaku, Rifail berkata, dia kurang mengenali siapa sebenar yang mencungkil mata mangsa.

"Saya tak pasti, ada yang cakap dia dari Cikarang, cuma yang jelas pelaku dikenali oleh mangsa," katanya.

Mengesahkan kejadian itu Ketua Polis Gunung Putri, AKP Aulia Robby berkata, mangsa dan suspek saling mengenali dan mereka merupakan komuniti Vespa.

"Ini berdasarkan pendedahan daripada saksi-saksi yang kita peroleh.

"Kami kini sedang mencari keberadaan suspek,dan mencari motif sebenar kejadian," katanya lagi.