Polis gempur 'markas' GISBH di Country Homes Rawang

Iklan
Pihak berkuasa melaksanakan serbuan besar-besaran di pusat perniagaan yang sebahagian besarnya dimiliki oleh GISB di Bandar Country Homes, Rawang, awal pagi Sabtu.

GOMBAK - Polis Kontinjen Selangor menyerbu kawasan pusat perniagaan yang sebahagian besarnya dimiliki oleh rangkaian GISB Holdings Sdn Bhd (GISBH), di Bandar Country Homes, Rawang, awal pagi Sabtu.

Serbuan dibuat jam 6.30 pagi oleh 50 pegawai dan 200 anggota Polis Kontinjen Selangor, Pasukan Simpanan Persekutuan (PSP) serta dibantu Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) dan Majlis Perbandaran Selayang (MPS).

Iklan
Iklan

Antara pusat perniagaan yang diperiksa adalah restoran, bengkel kereta, kedai pakaian terpakai, pencetakan, pasar raya, kedai bakeri, pusat khidmat media, hotel, butik, galeri dan bentuk perniagaan lain yang kesemuanya menggunakan nama GISBH.

Setakat jam 8.30 pagi tadi, pihak polis dilihat melakukan pemeriksaan terhadap individu termasuk sebahagian kanak-kanak di lokasi sama.

Iklan

Pihak MPS dilihat turut melakukan kerja-kerja merobohkan struktur GISBH yang dibina secara salah selain menyita beberapa premis perniagaan.

Pihak berkuasa melaksanakan serbuan besar-besaran di pusat perniagaan yang sebahagian besarnya dimiliki oleh GISB di Bandar Country Homes, Rawang, awal pagi Sabtu.

Pada masa sama juga hampir keseluruhan kawasan di pusat perniagaan Jalan Desa, Bandar Country Homes, ditutup.

Iklan

Pada 12 September lalu, seramai 402 kanak-kanak dan remaja berusia setahun hingga 17 tahun berjaya diselamatkan menerusi serbuan di 20 rumah amal sekitar Selangor dan Negeri Sembilan disyaki menjadi mangsa eksploitasi menerusi Op Global.

Berdasarkan saringan kesihatan terhadap 384 kanak-kanak yang diselamatkan menerusi Op Global, ada ciri-ciri pengabaian dan penganiayaan berlaku.

Sebelum ini, polis menahan seramai 171 orang yang juga guru dan penyelia rumah amal berusia 17 hingga 64 tahun.

Daripada jumlah itu seramai 159 orang direman, manakala bakinya dibebaskan kerana bawah umur dan tidak relevan kepada siasatan.

Pada Khamis, media melaporkan Ketua Pegawai Eksekutif GISBH dan isterinya antara 19 individu ditahan dalam Op Global di ibu kota.

Kesemua individu berusia 25 hingga 65 tahun itu ditahan dalam operasi yang dijalankan Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman pada jam 5.40 pagi.

Seramai 12 lelaki dan tujuh wanita itu direman tujuh hari bermula Khamis hingga Rabu bagi membantu siasatan.

Terdahulu, Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim turut menitahkan Polis Diraja Malaysia (PDRM) menjalankan siasatan segera dan menyeluruh berkaitan isu jenayah serta penganiayaan kanak-kanak dikaitkan dengan rumah amal GISBH.

Baginda memandang serius perkara itu selepas pelbagai berita dilaporkan serta disiarkan di media massa mengenai rumah amal berkenaan.