Tuan Ibrahim gesa AirAsia baiki mutu perkhidmatan

Iklan
Tuan Ibrahim menggesa syarikat penerbangan AirAsia agar memperbaiki mutu perkhidmatan dalam satu hantaran di Facebook miliknya.

KOTA BHARU - Ahli Parlimen Kubang Kerian, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man menggesa syarikat penerbangan AirAsia agar memperbaiki mutu perkhidmatan.

Gesaan itu dilontarkan selepas syarikat terbabit menangguhkan jadual sekali gus menjejaskan pergerakan beliau untuk pulang ke kawasan di Kubang Kerian bagi menghadiri program yang telah diatur.

Iklan
Iklan

"Pagi ini (Sabtu) saya bergegas ke KLIA 2 (Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2) untuk pulang ke kawasan di Kubang Kerian.

"Namun ia sangat mendukacitakan apabila penerbangan ke Kota Bharu yang dijadualkan pada jam 8.35 pagi ditunda ke jam 11.00 pagi. Hal ini menyebabkan ketidakselesaan penumpang menunggu lama kerana terpaksa datang awal sejam sebelum berlepas," katanya dalam hantaran dimuat naik di Facebook miliknya.

Iklan

Menurut beliau, melihat paparan di skrin, hampir 10 destinasi penerbangan ditunda pada pagi Sabtu.

Ujarnya, sebagai penerbangan tambang murah terbaik dunia, beliau berpendapat AirAsia perlu memperbaiki mutu perkhidmatan mereka.

Iklan

"Saya kerap menggunakan perkhidmatan AirAsia dan dapat melihat bahawa isu penerbangan yang tertunda mutakhir ini kerap berlaku.

"Terbaharu, penerbangan saya, Surabaya-Kuala Lumpur semalam pun turut alami perkara yang sama. Banyak rungutan penumpang menyatakan hal yang sama," katanya.

Tuan Ibrahim berkata, kelewatan itu sangat menjejaskan jadual penumpang yang mengambil penerbangan sambungan ke destinasi lain serta mempunyai komitmen dengan program penting.

Beliau berkata, lebih lagi ia akan menyebabkan kerugian besar kepada mereka yang mempunyai mesyuarat penting dan juga temuduga.

Menurut Timbalan Presiden Pas itu, selain isu pakaian pramugari yang ‘kurang sopan dan tidak mencerminkan budaya timur’, AirAsia hampir tiada masalah besar.

"Seandainya ia boleh memperbaiki perkhidmatan terutama jadual penerbangan yang kerap tertunda, saya yakin AirAsia akan terus berkembang sebagai Penerbangan Tambang Murah Terbaik Dunia," katanya.