IPOH - Seorang lelaki dilaporkan tidak pulang ke rumah sejak sebulan lalu selepas keluar mencari kerja di bandar raya ini.
Noor Azmi Abu Talib, 39, kali terakhir dilihat ketika keluar dari kediaman abangnya di Tanjung Rambutan menunggang motosikal Modenas Kriss berwarna merah dengan nombor pendaftaran AJD 926 pada 19 Ogos lalu.
Abang mangsa, Noor Syaifuan, 44, berkata, pada awalnya, mereka sekeluarga beranggapan anak keempat daripada lima beradik itu mengambil masa beberapa hari untuk mencari kerja.
Bagaimanapun menurutnya, keadaan bertukar bimbang apabila talian telefon Noor Azmi tidak dapat dihubungi dan usaha menjejakinya tidak berjaya.
"Sebelum ini, dia bekerja sebagai penghantar makanan, tetapi disebabkan kurang menerima tempahan menyebabkannya berhenti kerja.
"Sudah puas kami bertanya kepada kawan-kawannya, namun semua tidak mengetahui keberadaan adik.
"Saya sendiri juga ada membuat semakan di balai dan hospital sekiranya dia ada di sana, malangnya semua usaha menemui jalan buntu," katanya ketika ditemui pemberita di sini pada Sabtu.
Beliau berkata, Noor Azmi yang masih bujang tinggal bersama ibu mereka di Meru Raya dan kehilangannya itu menyebabkan wanita berusia 67 tahun terbabit murung serta sering menangis.
Katanya, laporan polis telah dibuat pada 22 Ogos lalu di Balai Polis Tanjung Rambutan dan hebahan kehilangan Noor Azmi juga ada dilakukan di media sosial Facebook, dengan harapan ada individu boleh tampil memberi maklumat.
"Kami cuma nak dia balik semula ke rumah. Tidak mengapalah jika tiada kerja sekali pun, kami adik-beradik akan bantu dan tidak akan pinggirkan dia.
"Kasihan pada emak yang setiap hari bertanya. Kesihatannya juga merosot kerana bimbang. Emak kini banyak termenung dan tidak ceria, kadang-kadang menangis teringatkan adik," katanya.
Orang awam yang mempunyai maklumat berkaitan Noor Azmi boleh lapor ke balai polis berhampiran atau menghubungi Noor Syaifuan di talian 018-9554075 dan 011-26407908.