Pekerja swasta harap gaji minimum ditingkatkan

Iklan

KUALA LUMPUR - Pekerja sektor swasta di negara ini mengharapkan pelaksanaan gaji minimum yang diperkukuhkan dengan dasar gaji progresif pekerja swasta dapat dilaksanakan selepas pengumuman pelarasan gaji kakitangan awam, baru-baru ini.

Rata-rata mereka berharap isu kenaikan tangga gaji pekerja swasta perlu ditangani dahulu manakala majikan untuk cakna memberikan imbuhan setimpal dengan prestasi dilakukan pekerja mereka.

Iklan
Iklan



Pekerja swasta, Mohd Amirul Safwan, 43, berkata, gaji minimum RM1,500 sudah tidak relevan memandangkan kos sara hidup yang begitu tinggi ketika ini. Menurutnya, gaji minimum swasta dicadangkan sepatutnya diadakan dua tahun sekali selepas kajian terakhir dijalankan pada tahun 2022.

"Peningkatan gaji pernah berlaku ketika kerajaan meminta gaji minimum dalam sektor kerajaan ditingkatkan kepada RM1,500 dan ada majikan sektor swasta turut melaksanakannya."Namun dalam sektor swasta, isu gaji minimum hendaklah dikaji setiap dua tahun dalam Majlis Perundingan Gaji Negara,” katanya kepada Sinar Harian.

Iklan



Bagi Khairul Azwan Azman, 36, pula selain kos sara hidup yang tinggi, pekerja swasta yang mempunyai gaji kurang RM4,000 bagi setiap isi rumah perlu berbelanja besar membayar ansuran bulanan rumah setiap bulan.

"Kalau suami dan isteri bekerja mungkin tidak ada masalah, tetapi bagaimana jika hanya seorang bekerja ditambah dengan perbelanjaan harian pasti membebankan,” katanya yang tinggal di Kota Kemuning.

Iklan

Tambahnya, jika gaji minimum pekerja swasta dapat dinaikkan, ia secara tidak langsung dapat meningkatkan produktiviti syarikat tersebut.

"Kerajaan perlu melakukan sesuatu seiring dengan tangga gaji kakitangan awam yang sudah dinaikkan, sekarang Kementerian Sumber Manusia (Kesuma) bantulah kami di sektor swasta pula,” katanya.

Keperitan

Menurut Mohd Aulia Murty, 35, sudah sampai masanya kerajaan menguatkuasakan gaji minimum yang tinggi bagi membantu pekerja sektor swasta khususnya yang tinggal di bandar besar.

"Gaji minimum untuk pekerja swasta perlu ditingkatkan sehingga RM2,200 berdasarkan keadaan semasa dan kos yang meningkat,” katanya yang mempunyai dua orang anak.



Mohd Aulia berkata, setiap hari perbelanjaan petrol, tol perlu dikeluarkan, jika gaji minimum ini kekal dan syarikat hanya memberi alasan tidak ada untung maka nasib pekerja swasta agak sukar.

"Saya ada anak bersekolah, hujung tahun saya perlu menyediakan perbelanjaan kelengkapan sekolah, buku dan sebagainya. Kalau kerajaan tidak bantu memang masalah besar untuk kami pekerja swasta,” katanya.

Sementara itu, pesara, Anthony Soosai, 63, berkata, keperitan pekerja sektor swasta turut dirasai oleh dirinya sebagai seorang bapa.



"Kalau ada usaha untuk menaikkan gaji minimum khususnya untuk sektor swasta saya memang sokong sebab tidak semua pekerja swasta ini hidupnya senang.

"Kalau anda ada anak-anak yang bekerja dalam sektor swasta, sebagai ibu bapa mesti tahu betapa susahnya mereka untuk membina keluarga khususnya yang tinggal di bandar besar,” katanya.

Naikkan gaji pekerja swasta

Sementara itu Melissa, 42, berkata, sebagai majikan dan juga pekerja, beliau amat menyokong sebarang usaha untuk menaikkan gaji minimum pekerja swasta.

"Pada masa sama syarikat swasta juga perlu dibantu oleh kerajaan bagi membolehkan golongan pekerja mendapat gaji yang tinggi.

"RM1,500 adalah gaji yang kecil bukan untuk orang berkeluarga sahaja tetapi orang bujang juga memang tidak cukup.

"Sebab itu pekerja lepasan universiti perlu memperolehi tangga gaji sekitar RM2,000 atau lebih,” katanya.



Tambahnya, kalau gaji kakitangan kerajaan boleh naik, mengapa tidak kerajaan usahakan kenaikan gaji pekerja swasta.

Pekerja swasta, Mohd Amin Jelani, 36, berkata, majikan sektor swasta berperanan memastikan setiap pekerja mereka mendapat pampasan sewajarnya berdasarkan prestasi dan produktiviti mereka.



"Majikan akan memberikan kenaikan gaji pekerja swasta sekiranya meningkatkan kemahiran mereka untuk lebih produktif.

"Apabila pekerja semakin produktif, syarikat akan menjana pendapatan dan keuntungan lebih tinggi sekali gus membolehkan majikan memberi kenaikan gaji kepada pekerja mereka,” katanya.

Tambahnya, kerajaan juga diharap dapat membantu syarikat swasta meningkatkan hasil perolehan dan keuntungan masing-masing sekali gus dapat menjamin pendapatan tinggi kepada kakitangan swasta.