GOMBAK - Lebih 10 individu termasuk wanita, remaja dan kanak-kanak yang diperiksa dalam serbuan di pusat perniagaan GISB Holdings Sdn Bhd (GISBH), Bandar Country Homes, Rawang, dibawa menaiki van dan kereta sejurus operasi berakhir.
Difahamkan, kesemua mereka dibawa menaiki enam van dan tiga kenderaan Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk menjalani proses dokumentasi di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor.
Kesemua mereka adalah antara individu yang ditemui di dalam premis perniagaan dan unit-unit kediaman di pusat perniagaan yang dimiliki GISBH.
Mereka yang dibawa untuk pemeriksaan lanjut dipercayai berusia antara tujuh tahun hingga lingkungan 50-an.
Operasi oleh Polis Kontinjen Selangor bersama Polis Simpanan Persekutuan (PSP) turut dibantu oleh Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) dan Majlis Perbandaran Selayang (MPS).
Dalam operasi bermula jam 6.30 pagi, puluhan lot premis perniagaan seperti kedai dobi, kedai pencetakan, pusat rawatan dan klinik, hotel, bakeri, pusat khidmat media, butik, galeri, restoran dimiliki GISBH diperiksa.
Dalam operasi sama, pihak MPS turut merobohkan beberapa struktur binaan haram selain menyita premis-premis perniagaan dimiliki GISBH yang didapati tidak berlesen.
Selain di Bandar Country Homes, Op Global turut dijalankan di seluruh negara oleh Bukit Aman dan Polis Kontinjen Negeri di seluruh negara.
Pada 12 September lalu, seramai 402 kanak-kanak dan remaja berusia setahun hingga 17 tahun berjaya diselamatkan menerusi serbuan di 20 rumah amal sekitar Selangor dan Negeri Sembilan disyaki menjadi mangsa eksploitasi menerusi Op Global.
Berdasarkan saringan kesihatan terhadap 384 kanak-kanak yang diselamatkan menerusi Op Global, ada ciri-ciri pengabaian dan penganiayaan berlaku.
Sebelum ini, polis menahan seramai 171 orang yang juga guru dan penyelia rumah amal berusia 17 hingga 64 tahun.
Daripada jumlah itu seramai 159 orang direman, manakala bakinya dibebaskan kerana bawah umur dan tidak relevan kepada siasatan.
Pada Khamis, media melaporkan Ketua Pegawai Eksekutif GISBH dan isterinya antara 19 individu ditahan dalam Op Global di ibu kota.
Kesemua individu berusia 25 hingga 65 tahun itu ditahan dalam operasi yang dijalankan Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman pada jam 5.40 pagi.
Seramai 12 lelaki dan tujuh wanita itu direman tujuh hari bermula Khamis hingga Rabu bagi membantu siasatan.
Terdahulu, Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim turut menitahkan PDRM menjalankan siasatan segera dan menyeluruh berkaitan isu jenayah serta penganiayaan kanak-kanak dikaitkan dengan rumah amal GISBH.
Baginda memandang serius perkara itu selepas pelbagai berita dilaporkan serta disiarkan di media massa mengenai rumah amal berkenaan.