KLUANG - Calon Barisan Nasional (BN) bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Mahkota akan meneliti langkah yang perlu diambil bagi menghidupkan semula kawasan perniagaan di aras satu Terminal Bas Kluang.
Syed Hussien Syed Abdullah berkata, terminal berkenaan pernah menjadi tumpuan penduduk Kluang sekitar tahun 90-an untuk menaiki bas, teksi dan mendapatkan barangan keperluan.
Bagaimanapun, seiring dengan peredaran masa, semakin ramai yang memiliki kereta selain perkhidmatan e-hailing menyebabkan terminal berkenaan tidak lagi menjadi tumpuan.
"Pertama, dari segi penggunaan bas, kalau dahulu ramai yang gunakannya untuk bergerak dari satu lokasi ke satu lokasi.
"Tetapi sekarang sudah ada banyak pilihan kemudahan yang lain selain setiap rumah ada kereta.
"Keadaan ini, menyebabkan kawasan terminal tidak lagi jadi tumpuan sekali gus menjejaskan peniaga yang berada di aras satu," katanya ketika ditemui selepas pertandingan memancing di Taman Ilham pada Sabtu.
Hadir sama, Ketua Pemuda UMNO Malaysia, Datuk Dr Muhamad Akmal Salleh.
Menurut Syed Hussien, sebarang tindakan yang akan diambil perlu dipastikan memberi kesan jangka masa panjang.
"Mengenai eskalator atau tangga bergerak perkara dilihat secara teliti kerana langkah utama yang perlu dilakukan sekarang adalah menghidupkan semula terminal di sini.
"Terminal perlu kembali rancak dan jadi tumpuan orang ramai untuk guna pengangkutan awam," katanya.
Pada 6 September lalu, Sinar Harian melaporkan Terminal Pengangkutan Awam Kluang dekat sini, yang menjadi lokasi tumpuan penduduk kerana turut menempatkan lokasi perniagaan yang sejak 1995, kini semakin suram.
Rata- rata peniaga berharap pemimpin yang dipilih dalam PRK kali ini dapat membawa suara peniaga di situ dan usaha perlu dilakukan untuk menghidupkan semula kawasan terminal selain menambah baik kemudahan awam.