KUALA LUMPUR - Salah guna permit selain tinggal lebih masa dengan bekerja sebagai gadis pelayan pelanggan (GRO) antara kesalahan dikesan dilakukan wanita warga asing yang ditahan di sebuah pusat hiburan dekat Menjalara di sini pada Sabtu.
Selain itu, wanita berusia lingkungan 30-an itu turut mengaku menggunakan pas kerja sebagai buruh binaan selain memasuki negara ini sejak Oktober lalu.
Timbalan Ketua Pengarah Imigresen (Operasi), Jafri Embok Taha berkata, serbuan dijalankan melibatkan dua premis hiburan susulan aduan diterima selain hasil risikan yang dijalankan sebelum ini.
"Seramai 93 warga asing ditahan terdiri daripada 62 wanita serta seorang lelaki warga Thailand, 10 wanita warga Vietnam dan empat wanita serta tujuh lelaki warga China.
"Selain itu, turut ditahan lima lelaki Bangladesh, dua lelaki Myanmar dan masing-masing seorang wanita dari Laos dan Mangolia yang mana kesemua mereka ini berumur antara 18 hingga 39 tahun," katanya dalam sidang akhbar selepas operasi berkenaan pada Sabtu.
Katanya, siasatan mendapati dua premis hiburan itu menawarkan perkhidmatan GRO warga asing dengan kadar harga tertentu.
"Antara yang dikesan adalah penggunaan selempang dengan harga tips antara RM100 hingga RM1,000 kepada GRO.
"Selain itu, kebanyakan warga asing ditahan mempunyai visa sebagai pelancong tetapi ada antaranya telah tamat tempoh," katanya.
Menurutnya, operasi akan diteruskan serta ditingkatkan susulan peningkatan aduan berkaitan premis-premis terutama sekitar Lembah Klang yang menjalankan kegiatan tidak bermoral.
"Kami tidak berkompromi dalam soal ini, kita akan ambil tindakan mana-mana kesalahan yang dikesan dilakukan.
"Kami akan sentiasa berusaha mengurangkan kegiatan seumpama ini yang memberi kesan sosial terhadap negara," katanya.
Tambahnya, kesemua warga asing yang ditahan dibawa ke Pejabat Imigresen Putrajaya untuk proses dokumentasi.
"Tindakan diambil di bawah Peraturan 39 (b) Peraturan-Peraturan Imigresen 1963 dan Seksyen 6 (3) Akta Imigresen 1959/63," katanya.