KOTA BHARU - Polis merampas puluhan buku berkaitan ajaran dan doktrin yang diperjuangkan oleh GISB Holdings Sdn Bhd (GISBH) di tepi sungai berhampiran kediaman pengikut kumpulan berkenaan di Kampung Panji di sini pada Sabtu.
Puluhan buku itu ditemukan tertanam di kawasan tebing sungai berkenaan dan perbuatan itu dipercayai dilakukan selepas Ketua Pegawai Eksekutif GISBH ditahan polis pada Jumaat.
Kesemua buku yang ditanam itu dari jenis tebal dan besar ditanam bagi mengelak dikesan pihak berkuasa.
Sementara itu, sebahagian besar buku dilihat sudah dibakar dan keadaan lokasi masih berbau asap.
Selain polis, Op Global bermula jam 7 pagi itu turut disertai Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Kelantan (JAHEIK).