PPIM tak pernah tahu isu GISBH sebelum ia didedahkan - Nadzim

Iklan
Nadzim Johan

SHAH ALAM - Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) menafikan dakwaan yang menuduh pertubuhan bukan kerajaan (NGO) itu bersekongkol melindungi ahli kumpulan GlSB Holdings Sdn Bhd (GISBH) dan turut mengamalkan ajaran sesat.

Ketua Aktivis PPIM, Datuk Nadzim Johan berkata, sebelum ini sama seperti banyak pihak lain, kerjasama dengan entiti perniagaan berkenaan hanya atas kapasiti menyokong usaha meningkatkan jumlah produk halal buatan umat Islam untuk pengguna di Malaysia.

Iklan
Iklan

Tegas beliau, ia bukan cerminan persatuan menyokong atau mengetahui mengenai dakwaan berkaitan isu dalam kumpulan GISBH ketika ini.

"PPIM menegaskan tidak pernah mengetahui mengenai apa-apa isu dalam kumpulan GISBH yang dikaitkan dengan pelbagai dakwaan.

Iklan

"Termasuk jenayah seksual terhadap kanak-kanak, pemerdagangan manusia, penggubahan wang haram dan lain-lain sehinggalah perkara tersebut didedahkan baru-baru ini,” katanya dalam kenyataan pada Sabtu.

Beliau berkata demikian bagi mengulas mengenai beberapa hantaran di media sosial mengaitkan PPIM dengan GISBH yang dalam siasatan polis berhubung beberapa salah laku jenayah susulan operasi Op Global pada 11 September lalu.

Iklan

Polis menyerbu 20 rumah amal GISBH di Selangor dan Negeri Sembilan dengan menyelamatkan 402 individu termasuk kanak-kanak yang didakwa menjadi mangsa eksploitasi​ dan seksual.

Pihak polis turut membekukan 96 akaun bank berkaitan syarikat tersebut dengan nilai melebihi RM581,000

Seramai 171 individu berusia 17 hingga 64 tahun ditahan bagi membantu siasatan dan setakat 19 September lalu, 19 individu termasuk pengurusan tertinggi, isteri serta beberapa pemimpin GISBH direman tujuh hari.

Ujar Nadzim, PPIM tidak akan melindungi mana-mana pihak yang melanggar undang-undang kerajaan atau bertentangan dengan ajaran Islam.

"PPIM meminta pihak lain jangan memburukkan lagi keadaan dan jangan cuba mengaitkan PPIM dengan isu yang tidak berkaitan.

"PPIM bersedia memberi kerjasama penuh kepada pihak berkuasa jika diminta berbuat demikian.

"Kami juga mengalu-alukan siasatan pihak berkuasa terhadap dakwaan pihak tidak bertanggungjawab yang berselindung di sebalik profil tanpa identiti di media sosial,” katanya.