UTHM beri bantuan zakat, pinjaman tanpa faedah bantu pelajar kurang mampu

Iklan
UTHM menawarkan pelbagai bentuk bantuan termasuk pemberian zakat dan pinjaman tanpa faedah kepada pelajar yang tidak berkemampuan. Foto UTHM

BATU PAHAT - Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) bersedia menawarkan pelbagai bentuk bantuan termasuk pemberian zakat dan pinjaman tanpa faedah kepada pelajar yang tidak berkemampuan bagi membantu mereka menyambung pengajian ke universiti.

Naib Canselor UTHM, Profesor Datuk Ir Ts Dr Ruzairi Abdul Rahim berkata, UTHM amat mengutamakan kebajikan dan kesejahteraan pelajarnya.

Iklan
Iklan

"Pihak universiti sebelum ini ada menawarkan 11 produk kebajikan pelajar antaranya Tabung Zakat Pelajar, Tabung Pinjaman Pelajar, Dana Wang Ihsan serta program bantuan makanan Sabil Al-Hikmah dan Food Bank Siswa bagi mengurangkan beban sara hidup mereka sepanjang tempoh pengajian.

"Bagi menjaga kesejahteraan pelajar, UTHM turut menawarkan beberapa bantuan lain seperti Skim Bantuan Mahasiswa OKU, Insurans Berkelompok Pelajar, Skim Bantuan Mahasiswa Orang Asli, Skim Pelajar Bekerja, Surat Jaminan Hospital dan Khairat Kematian,” katanya.

Iklan
Ruzairi

Jelas beliau, UTHM ada menyediakan Tabung Pinjaman Pelajar tanpa faedah bagi membantu pelajar yang perlu menjelaskan yuran pengajian masing-masing.

"Bantuan zakat pula diberikan kepada pelajar asnaf termasuk fakir, miskin, gharim dan fisabilillah bagi membantu mereka menampung kos sara hidup dan menjelaskan yuran pengajian.

Iklan

"Selain itu, Dana Ihsan seperti bantuan yuran pengajian, sara hidup, bencana alam dan musibah juga turut diberikan kepada golongan pelajar B40 yang mempunyai masalah kewangan sepanjang tempoh pengajian," ujarnya.

Tambah beliau, bagi membantu pelajar yang mengalami kesempitan kewangan untuk membeli makanan, pihak universiti turut memberi bantuan makanan secara ‘food pack’ melalui program Sabil Al-Hikmah.

Selain itu, ujarnya, sebagai tanda prihatin kepada golongan pelajar B40, UTHM turut melaksanakan program Food Bank Siswa dengan mengedarkan makanan kering dan 'food pack' setiap bulan kepada mereka yang memerlukan.

Menariknya, sumber dana kedua-dua program itu adalah hasil sumbangan dermawan dan juga potongan gaji staf.

Malah beliau memberitahu, pelajar yang tidak berkemampuan juga akan diberikan bantuan komputer riba untuk memudahkan mereka menghadapi sesi pembelajaran kelak.

"Usaha-usaha ini adalah bagi membantu anak bangsa meneruskan pengajian di institut pengajian tinggi sekali gus menyokong hasrat Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) yang ingin melahirkan bakat terbaik negara.

"Justeru itu, saya mewakili universiti ingin menyeru calon-calon yang terpilih untuk membulatkan tekad, meneruskan hasrat tanpa menganggap kesempitan hidup sebagai halangan untuk melanjutkan pengajian ke menara gading,” ujar beliau.

Pada Jumaat, Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Zambry Abd Kadir mengarahkan semua pentadbir universiti menerima masuk pelajar miskin dan daif termasuk menangguhkan bayaran yuran pendaftaran.

Pada masa sama, beliau turut mengarahkan universiti menguruskan bantuan awal pengajian melalui Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) kepada golongan mahasiswa yang tidak berkemampuan berkenaan.