SATU mata yang dikutip oleh Kedah Darul Aman (KDA) FC semasa mengikat Sri Pahang FC 2-2 pada aksi Liga Super 2024-2025 di Stadium Darul Aman pada malam Jumaat disifatkan sebagai luar biasa oleh pengendalinya, Nafuzi Zain.
Menurutnya, turun tanpa persiapan rapi dengan hanya enam sesi latihan pada September ini dan majoriti pemain masih belum mencapai tahap kecergasan yang diharapkan, namun pemain Sang Kenari tetap berjuang memberikan segala-galanya pada perlawanan tersebut.
"Terima kasih kepada pemain kerana membantu saya dalam perlawanan ini walaupun dalam keadaan sebelum perlawanan kita merasakan luar biasa berdasarkan persiapan pasukan dan juga permasalahan yang sedang dihadapi.
"Tetapi usaha dan komitmen yang ditunjukkan oleh semua pemain pada malam ini sungguh luar biasa walaupun kita tidak dapat menampilkan aksi permainan seperti sebelum ini kerana masih belum cergas,” katanya pada sidang akhbar selepas perlawanan di Stadium Darul Aman di sini.
Jelas Nafuzi, pada September ini hanya enam sesi latihan sahaja dijalani oleh pemain skuad utama itu dan ia menjadi punca Sang Kenari tidak berada pada tahap stamina yang diharapkan.
Menurutnya, beliau percaya KDA FC mampu meraih tiga mata pada perlawanan tersebut berdasarkan kesungguhan pemain jika persiapan rapi dapat dilakukan.
"Satu sikap profesional yang ditunjukkan oleh pemain kerana kita tahu mereka semua sayangkan pasukan ini.
"Walaupun masalah belum selesai namun para pemain masih tetap mahu membantu pasukan,” ujarnya.
Dalam pada itu, Nafuzi mengakui pasukannya tidak mampu mengatasi kecergasan pasukan lawan yang sebelum ini cemerlang membelasah PDRM 5-1 dan strategi agar tidak banyak hilang bola berjaya mengimbangi corak permainan sepanjang perlawanan.
Katanya lagi, beliau berbangga dengan semua pemainnya walaupun berdepan dengan masalah yang masih belum selesai dan mengharapkan para penyokong akan terus memberikan sokongan tidaki berbelah bahagi kepada pasukan tersebut.
"Kami memerlukan sokongan dan tidak boleh menyalahkan para pemain dalam hal ini.
"Bagi saya pemain datang berlatih dan mahu bermain adalah satu nikmat kepada saya kerana kami memahami apa yang sedang dirasai sekarang ini.
"Mungkin nampak senang di mata peminat tapi apa yang yang dilalui sekarang ini adalah sesuatu yang susah hendak digambarkan,” jelasnya.
Dalam pada itu, Nafuzi mengesahkan pasukannya masih belum dapat mendaftar pemain baharu walaupun perkara tersebut diharapkan kerana masalah kewangan yang dihadapi oleh KDA FC pada masa ini masih belum selesai.
"Dengan pemain yang kita ada sekarang ini kita hanya mampu membuat perubahan dan meningkatkan permainan mereka sahaja,” ujarnya lagi.
Keputusan berjaya mengikat Sri Pahang FC menyaksikan KDA FC berada di tangga ke-10 liga super dengan sembilan mata manakala Sri Pahang FC pula berada di tangga keenam dengan 11 mata.