Serbuan di lokasi perniagaan GISBH sebahagian siasatan - KPN

Iklan
Razarudin.

GOMBAK - Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain mengesahkan mengenai beberapa siri serbuan yang dilakukan Polis Diraja Malaysia (PDRM) di pusat perniagaan termasuk bangunan disyaki milik GISB Holdings Sdn Bhd (GISBH) Bandar Country Homes, Rawang, di sini pada Sabtu.

Razarudin berkata, selain itu, serbuan Op Global berkenaan dilakukan sejak awal pagi tadi turut dilaksanakan di beberapa lokasi di seluruh negara.

Iklan
Iklan

"Tindakan ini adalah sebahagian daripada siasatan mereka selepas penahanan beberapa individu termasuk Pengerusi merangkap Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) GISBH pada Khamis lalu.

"Saya sahkan, serbuan dilakukan sejak 6 pagi tadi. Sebarang perkembangan dan maklumat akan dimaklumkan kemudian,” katanya ketika dihubungi pada Sabtu.

Iklan

Terdahulu, Sinar Harian melaporkan pihak berkuasa telah melakukan pemeriksaan terhadap beberapa individu termasuk kanak-kanak dalam serbuan Op Global di pusat perniagaan GISBH di Bandar Country Homes, Rawang di sini, untuk siasatan lanjut.

Difahamkan, kesemua mereka terdiri daripada wanita, remaja dan kanak-kanak berusia sekitar tujuh sehingga 50-an.

Iklan

Mereka ditemukan dalam premis perniagaan dan kediaman di pusat perniagaan yang dimiliki GISBH semasa serbuan dijalankan pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM), yang bermula kira-kira jam 6 pagi.

Susulan pemeriksaan, mereka dibawa menaiki enam van dan tiga kereta Perodua Aruz ke Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor untuk proses dokumentasi.

Operasi oleh Polis Kontinjen Selangor bersama Polis Simpanan Persekutuan (PSP) turut dibantu oleh Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) dan Majlis Perbandaran Selayang (MPS).

Dalam operasi bermula pukul 6.30 pagi itu puluhan lot premis perniagaan seperti restoran, kedai dobi, kedai pencetakan, poliklinik, hotel, bakeri, pusat khidmat media, butik dan galeri disyaki milik GISBH.

Dalam operasi sama, pihak MPS turut merobohkan beberapa struktur binaan haram selain menyita premis-premis perniagaan dimiliki GISBH yang didapati tidak berlesen.

Selain di Bandar Country Homes, Op Global yang dijalankan di seluruh negara oleh Bukit Aman dan Polis Kontinjen Negeri di seluruh negara.