Fandi terkilan Tok Gajah gagal raih tiga mata

Iklan
Kpah Sherman (kanan) menjaringkan gol penyamaan membantu Sri Pahang FC mengikat KDA FC 2-2 pada aksi Liga Super di Stadium Darul Aman pada malam Jumaat. Foto Sri Pahang FC

KETUA Jurulatih Sri Pahang FC, Fandi Ahmad mengakui terkilan kerana pasukannya gagal mengambil kesempatan ke atas Kedah Darul Aman (KDA) FC untuk membawa pulang tiga mata penuh selepas terikat 2-2 pada aksi Liga Super 2024-2025 pada malam Jumaat.

Menurutnya, mereka maklum dengan situasi semasa yang dihadapi oleh pasukan tuan rumah yang tidak cergas sepenuhnya kerana hanya berlatih dalam tempoh yang singkat namun masih ramai pemain KDA FC beraksi pada tahap yang baik.

Iklan
Iklan

"Memang kami hadir ke sini untuk menang kerana selepas perlawanan menentang PDRM lalu kami mendapat keyakinan yang tinggi dan cumanya kami tidak mengambil peluang mendapatkan gol dengan sebaiknya," katanya pada sidang akhbar di Stadium Darul Aman pada malam Jumaat.

Jelas Fandi, walau bagaimanapun beliau tetap melihat keputusan tersebut adil buat kedua-dua pasukan selepas menampilkan aksi yang menarik sepanjang perlawanan berlangsung.

Iklan

Katanya, biarpun tempoh latihan KDA FC berjalan dalam tempoh yang singkat, namun tuan rumah masih dibarisi ramai pemain yang berpengalaman dan juga berkualiti untuk memberikan saingan sengit kepada Sri Pahang FC.

"Kami sudah menduga Kedah mampu melakukan sesuatu pada perlawanan ini di sebalik kekurangan latihan dan kecergasan sebelum perlawanan. Ini adalah kerana Kedah masih sebuah pasukan yang bagus,” ujarnya.

Iklan

Walau bagaimanapun, Fandi mengakui kegagalan memanfaatkan peluang yang terhidang menyaksikan mereka perlu berpuas hati dengan kejayaan meraih satu mata sahaja di Alor Setar.

"Hanya sedikit kesilapan kami yang membuatkan kami tidak mendapat mata penuh, namun kami akan mempertingkatkan lagi posisi atau jentera serangan untuk mendapatkan gol bagi perlawanan seterusnya," katanya.

Keputusan 2-2 tersebut menyaksikan Sri Pahang FC berada di tangga keenam Liga Super dengan 11 mata manakala KDA FC pula berada di tangga ke-10 dengan sembilan mata.