Op Global: 200 individu ditahan setakat ini bantu siasatan

Iklan
Razarudin

KUALA LUMPUR - Seramai 200 orang yang disyaki berkait dengan GISB Holdings Sdn Bhd (GISBH) telah ditahan dalam Op Global sejak 11 September lalu.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata, daripada jumlah itu, seramai 139 suspek yang ditahan sebelum ini telah disambung reman dan 23 orang lagi diberi jamin polis atas sebab-sebab tertentu.

Iklan
Iklan

"Kita turut berjaya menahan 31 orang ahli GISBH termasuk 17 individu yang memegang jawatan di organisasi tersebut dalam operasi bermula 18 September lalu sekitar Kuala Lumpur, Pahang, Negeri Sembilan, Kelantan dan Kedah (sempadan Malaysia-Thailand).

"Permohonan reman bagi kesemua individu tersebut telah dibenarkan selama tujuh hari bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 12 Akta Anti Pemerdagangan Orang dan Anti Penyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007," katanya dalam kenyataan pada Sabtu.

Iklan

Mengulas lanjut, Razarudin berkata, sehingga kini, polis telah membuka sebanyak 37 kertas siasatan termasuk tiga penambahan kes pada 17 September lalu di Kuala Pilah, Negeri Sembilan di bawah Seksyen 14(A) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual terhadap kanak-kanak 2017.

"Satu lagi kes di Sungai Kapar, Selangor di bawah Seksyen 14 ATIPSOM 2007, daripada jumlah tersebut, sebanyak lapan kertas siasatan melibatkan tujuh suspek telah berjaya dituduh dengan 29 pertuduhan," katanya.

Iklan

Beliau berkata, kesemua mangsa berusia 18 tahun ke atas telah diserahkan kepada waris, manakala yang berusia bawah 18 tahun diserahkan kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat mengikut seksyen 25(2) Akta Kanak-Kanak 2001.

"Kita sedang giat dan kekal komited dalam melaksanakan siasatan secara terperinci dalam operasi ini.

"Orang ramai juga dinasihatkan agar tidak membuat sebarang spekulasi sementara siasatan masih berlangsung.

"Mana-mana individu yang pernah menjadi mangsa atau mempunyai maklumat berkaitan kes ini diminta untuk tampil membuat laporan di balai polis berhampiran bagi melengkapkan siasatan," katanya.

Pada 12 September lalu, seramai 402 kanak-kanak dan remaja berusia setahun hingga 17 tahun berjaya diselamatkan menerusi serbuan di 20 rumah amal sekitar Selangor dan Negeri Sembilan disyaki menjadi mangsa eksploitasi menerusi Op Global.

Berdasarkan saringan kesihatan terhadap 384 kanak-kanak yang diselamatkan menerusi Op Global, ada ciri-ciri pengabaian dan penganiayaan berlaku.

Sebelum ini, polis menahan seramai 171 orang yang juga guru dan penyelia rumah amal berusia 17 hingga 64 tahun.

Daripada jumlah itu seramai 159 orang direman, manakala bakinya dibebaskan kerana bawah umur dan tidak relevan kepada siasatan.

Pada Khamis, media melaporkan Ketua Pegawai Eksekutif GISBH dan isterinya antara 19 individu ditahan dalam Op Global di ibu kota.

Kesemua individu berusia 25 hingga 65 tahun itu ditahan dalam operasi yang dijalankan Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman pada jam 5.40 pagi.

Seramai 12 lelaki dan tujuh wanita itu direman tujuh hari bermula Khamis hingga Rabu bagi membantu siasatan.

Terdahulu, Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim turut menitahkan PDRM menjalankan siasatan segera dan menyeluruh berkaitan isu jenayah serta penganiayaan kanak-kanak dikaitkan dengan rumah amal GISBH.

Seri Paduka Baginda memandang serius perkara itu selepas pelbagai berita dilaporkan serta disiarkan di media massa mengenai rumah amal berkenaan.