Zahin tawar diri bertanding Ketua Armada Bersatu

Iklan
Zahin (dua dari kanan) dan Faiz (dua dari kiri) ketika ditemui media selepas sesi penyerahan borang di sini pada Sabtu.

PETALING JAYA - [DIKEMAS KINI] Pengerusi Tetap Pemuda Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Zahin Zainal menawarkan diri bertanding sebagai Ketua Armada parti berkenaan bagi menggantikan penyandangnya, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal.

Zahin berkata, seramai 19 ahli pasukan pilihan Armada Bersatu yang dipimpinnya turut menghantar borang pencalonan bagi mengisi jawatan di peringkat pusat menjelang pemilihan pada Oktober depan.

Iklan
Iklan

Menurutnya, pencalonan secara sukarela itu dibuat bagi meyakinkan akar umbi Bersatu agar pihaknya mampu menerajui sayap parti pada sesi akan datang.

Katanya lagi, barisan kepimpinan baharu tersebut diyakini mampu menawan hati pengundi bukan sahaja ahli Bersatu dan Perikatan Nasional (PN), malah golongan muda yang bakal mengundi buat pertama kali ketika Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16) nanti.

Iklan

"Saya dan seluruh jawatankuasa atau Exco Armada Bersatu di setiap negeri selesai hantar borang sebagai satu pasukan.

"Kami menawarkan diri untuk memberikan khidmat bakti dalam pemilihan parti sesi ini.

Iklan

"Kekuatan kami datang daripada pelbagai latar belakang dan pengalaman di peringkat bahagian, negeri serta pusat.

"Insya-ALLAH sekiranya diberikan mandat oleh akar umbi, kami berikrar akan menjalankan tanggungjawab dengan sebaik mungkin,” katanya ketika sidang media selepas sesi penyerahan borang di Ibu Pejabat Bersatu di sini pada Sabtu.

Secara keseluruhannya, sebanyak 15 kekosongan jawatankuasa sayap bakal dipertandingkan, dua lagi mengisi jawatan pengerusi tetap dan timbalan pengerusi tetap beserta ketua dan naib ketua Armada Bersatu.

Pencalonan jawatan Naib Ketua Armada Bersatu juga diisi oleh Timbalan Pengerusi Tetap Armada iaitu Faiz Rahmad atau mesra dipanggil Cikgu Faiz.

Terbaharu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Gombak Setia, Muhammad Hilman Idham mengumumkan turut bertanding merebut jawatan ketua Armada dalam pemilihan Bersatu kali ini.

Ditanya mengenai respons penyandang sebelumnya, Zahin memaklumkan, Wan Ahmad Fayhsal memberikan maklum balas yang amat baik dan sudi menghulurkan sokongan penuh kepada calon pemimpin baharu.

Tambah beliau, ia kerana ahli Parlimen Machang itu sudah melepasi had umur iaitu 35 tahun untuk terus memegang jawatan sebagai ketua Armada.

"Ini bukan bermaksud beliau tak bertanding tapi dah melepasi had umur.

"Dari segi saingan, kami dimaklumkan ada lagi yang akan menghantar borang pencalonan cuma saya tak dapat pastikan berapa ramai.

"Sehingga 19 Oktober depan akan ada sesi pengundian, kita tunggu sahaja maklumat rasmi daripada parti,” ujarnya.